Berita Hari Ini

Bajet 2018 Akan Utamakan Rakyat – RHB Research

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 akan mengutamakan rakyat, mesra pasaran ekuiti serta memberi penekanan kepada aspirasi negara untuk 30 tahun akan datang di bawah Transformasi National 2050 (TN50).

Dalam satu nota hari ini, RHB Research Institute Sdn Bhd berkata, seiring dengan tema bajet, iaitu Membetuk Masa Depan, kerajaan dijangka meletakkan asas untuk TN50 dengan melaksanakan pelbagai langkah seperti meningkatkan kesambungan Internet dan mengembangkan pertumbuhan ekonomi digital.

“Ia juga merangkumi perkhidmatan perkongsian perjalanan serta menawarkan peruntukan lebih tinggi bagi pendidikan,” katanya, menurut Bernama.

Firma penyelidikan itu berkata, bajet itu akan turut memberi tumpuan kepada membantu Industri 4.0 di samping menggalak industri berteknologi tinggi dalam bidang automasi, pembangunan robot, data besar serta pengkomputeran awan.

“Antara insentif yang akan dilaksana kerajaan termasuk insentif cukai yang menyasarkan Industri 4.0 dan menambah dana untuk skim pinjaman mudah bagi automasi dan modenisasi.

Di samping itu, katanya, pelbagai usaha menangani peningkatan kos sara hidup akan dijalankan, termasuk menaikkan gaji, manfaat serta elaun kakitangan awam, melanjutkan program bantuan rakyat 1Malaysia ; bantuan untuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan serta memberi insentif bagi meningkatkan pendapatan segmen di bawah 40 serta memberi lebih banyak pelepasan cukai.

Katanya, perumahan mampu milik akan kekal menjadi perhatian, dengan subsidi dijangka diberikan kepada pembeli rumah berkenaan manakala pelepasan cukai diberikan kepada pemaju swasta.

“Mengenai pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, usaha menambah baik pembiayaan dan kemungkinan pengurangan kadar cukai turut dijangka dalam Bajet 2018,” katanya.

RHB Research berkata, kerajaan juga akan meningkatkan perbelanjaan pada 2018 sebanyak 4.3 peratus kepada RM269.3 bilion daripada kira-kira RM258.2 bilion pada 2017, berikutan pertambahan hasil daripada pengukuhan harga minyak mentah dan kutipan cukai.

Keseluruhannya, katanya, jangkaan yang bajet itu akan mesra pasaran yang mengandungi “kudap-kudapan” untuk individu dan perniagaan akan menjadikannya lebih menarik.

“Sudah pasti tahap kemurahan hati kerajaan itu akan ditentukan oleh kedudukan kewangan awam.

“Selain itu, pasaran juga mahu melihat disiplin fiskal yang berterusan yang dipantau dengan rapi oleh agensi penarafan antarabangsa,” katanya.

Institut itu berkata, defisit fiskal untuk 2018 dijangka dikurangkan lagi kepada 2.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar daripada sasaran tiga peratus pada 2017.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");