Jenayah

Bakal Calon UPSR Ditemui Lemas Bersama Rakan

SIBU: Seorang kanak-kanak yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan ditemui lemas bersama rakannya di Sungai Seduan dekat Lorong Permai Jaya 1F/3, Taman Permai Jaya di sini hari ini.

James Tiong Kiong Hoe, 12, dan Pau Chiong Huat, 18, dilaporkan hilang akibat dibawa arus deras kira-kira 6.15 petang semalam semasa memancing di sungai itu.

Mayat murid Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thian Chin itu dijumpai anggota penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah yang menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira 11.42 pagi tadi selepas mayat rakannya itu ditemukan pada 10.35 pagi.

Memetik sumber dari Bernama, identiti kedua-dua mangsa telah disahkan oleh keluarga masing-masing di pos kawalan bomba di lokasi kejadian dan mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu.

Selain Pau, James turut memancing di lokasi berkenaan bersama kembarnya Raymond Tiong Ing Hoe, serta dua lagi rakan mereka iaitu Muh Sung Huan dan seorang kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Benedict, semuanya berusia antara 11 dan 12 tahun.

Mereka dikatakan tinggal berjiran dan dilihat bermain dan memancing di lokasi kejadian sejak Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh pihaknya ditamatkan sejurus penemuan kedua-dua mangsa dan kes disiasat sebagai kematian mengejut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");