Sukan Hari Ini

BAM Perlu Teruskan Program Walau Tanpa Frost

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai perancangan dan program yang terbaik dalam usaha memantapkan skuad badminton negara di samping meningkatkan kualiti kejurulatihan walaupun tanpa Morten Frost yang telah melepaskan jawatan selaku Pengarah Teknikal BAM, semalam.

Beliau berkata bekas pemain Denmark itu telah memainkan peranan yang penting sejak kembali menyertai kem badminton negara pada 2015, namun kehilangannya tidak boleh menjejaskan usaha BAM untuk melahirkan bakat baharu dalam sukan badminton khususnya pemain perseorangan.

“Saya telah pesan kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza (Zakaria), bahawa walaupun tidak ada khidmat Frost lagi sebagai pengarah teknikal, perlu ada satu usaha untuk membangunkan kualiti kejurulatihan. Jangan kerana tidak ada Frost tidak ada perancangan dari segi kejurulatihan dan juga pembangunan bakat baharu.

“Walaupun Frost telah mainkan peranan yang penting, saya percaya dan yakin BAM ada perancangan sendiri untuk pastikan bahawa kehilangan beliau tidak akan dirasai dan ada perancangan untuk memantapkan skuad badminton kita,” katanya kepada pemberita ketika meninjau beberapa acara sukan yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) lapor Bernama.

BAM membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan pengarah teknikal badan induk itu selepas Mohamad Norza mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, semalam.

Menurut beliau jurulatih berusia 59 tahun itu menyerahkan surat peletakan jawatan pada Isnin (11 Sept), dengan menyatakan alasan masalah peribadi.

Berikutan itu, mesyuarat C&T juga bersetuju bahawa di bawah satu struktur baharu, semua lima ketua jurulatih akan melapor terus kepada jawatankuasa itu.

Lima ketua jurulatih ketika ini adalah Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran).

Selepas mencipta kejayaan pada 2016, Frost mengalami beberapa keputusan mengecewakan termasuk Kejohanan Dunia di Glasgow, Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur dan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, pada awal Mei.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");