Jenayah

Baru Berumur 17 Tahun Sudah Tubuh Geng Samun

KAMPAR – Tidak padan dengan umurnya yang baru berusia 17 tahun namun seorang remaja lelaki sudah berani menubuhkan kumpulan jenayah dikenali Geng Wan Tod dan melakukan kegiatan pecah kedai telefon bimbit sekitar Gopeng, sejak Ogos lalu.

Geng Wan Tod yang dianggotai seramai tujuh remaja berusia 14 hingga 19 tahun termasuk seorang remaja perempuan dan seorang lelaki berusia 22 tahun itu  tidak bertahan lama apabila mereka dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kesemua suspek  ditahan polis di rumah masing-masing di sekitar Kampar pada 5 dan 6 September lalu hasil risikan dan maklumat diperoleh melalui orang awam.

Katanya, kumpulan yang baru ditubuhkan Ogos lalu itu dipercayai sudah melakukan dua kegiatan pecah kedai telefon bimbit di sekitar Gopeng membabitkan kerugian RM11,000.

Menurutnya, kumpulan itu juga dipercayai turut melakukan tiga lagi cubaan memecah kedai telefon di sekitar kawasan sama.

“Kita percaya modus operandi digunakan kumpulan itu dengan memecah pintu kedai menggunakan pemotong besi dan mengambil telefon bimbit serta aksesori sebelum melarikan diri menaiki motosikal serta kereta.

“Kegiatan pecah masuk premis perniagaan dilakukan kumpulan ini kira-kira 2 hingga 3 pagi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

Kong Soon berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati,tiga  daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua lagi masih bersekolah manakal ketua kumpulan sudah tidak bersekolah.

Katanya, pihak polis juga merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenis jenama dipercayai hasil kegiatan itu, aksesori telefon, pemotong besi, pakaian dan motosikal yang digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Kesemua suspek direman sehingga hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kami juga percaya dapat menyelesaikan dua kes pecah kedai telefon bimbit dan tiga cubaan pecah kedai dengan tertangkapnya kelapan-lapan suspek,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");