shadow

SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad yang baharu dan duta khas kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu dilakukan bagi menggantikan Tan Sri Ismail Adam yang telah tamat tempoh pelantikannya, 31 Ogos lalu.

“Khalid akan meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam.

“Kerajaan ingin merakam ucapan terima kasih kepada Ismail atas segala sumbangan beliau bagi menjayakan misi dan visi Prasarana sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Khalid menamatkan perkhidmatannya secara rasmi sebagai KPN pada satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan tertinggi dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu.

Khalid berkata, persaraannya dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya pada hari ini, diputuskannya sendiri.

Selain itu, Khalid juga dilantik sebagai Duta Khas (Special Envoy) bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

“Ini memandangkan pengalaman luas serta hubungan baik Khalid dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai KPN dalam menangani masalah tersebut,” katanya lagi.

Komen & Pendapat