Berita Hari Ini

Bekas Pelajar Terbaik SPM 2003 Meninggal

IPOH: Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003, Dr Ahmad Atiq Abdul Hamid, yang meninggal dunia semalam, akibat pendarahan otak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya di sini, hari ini.

Dr Ahmad Atiq yang bertugas di Klinik Kesihatan Karai, Kuala Kangsar, meninggal dunia pada usia 31 tahun di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), jam 10.10 malam semalam setelah dilaporkan koma sejak Jumaat lalu selepas rebah.

Allahyarham meninggalkan isteri, Dr Mai Shahira Meor Hazizi serta dua anak.

Dr Mai Shahira berkata, suaminya yang mengalami penyakit berkaitan saluran darah dalam otak, mengadu sakit kepala yang teruk pada jam 3 pagi Jumaat lalu.

“Dia kemudian mengalami muntah-muntah disusuli matanya tidak dapat melihat sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang, Selangor itu muncul pelajar terbaik SPM 2003 selepas memperoleh keputusan 15A.

Graduan Universiti Nottingham, United Kingdom, itu adalah Presiden Pertubuhan Ikram Health Perak dan aktif dalam aktiviti membantu masyarakat.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Perak, Yahanis Yahya, berkata pemergian Dr Ahmad Atiq adalah kehilangan besar kepada IKRAM kerana Allahyarham aktif dalam khidmat masyarakat.

“Arwah juga meminati Bahasa Arab dan tulisan Jawi. Dia sudah bersama IKRAM sejak belajar lagi,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");