Isu Panas

BN Masih Kukuh, 4 Kawasan Kekal Kubu Kuat

KAWASAN Parlimen Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar bakal kekal menjadi kubu kuat atau deposit tetap BN pada PRU14.

Hasil kaji selidik Sinar Harian, 41.4 peratus atau 90 responden daripada 214 jawapan yang mahu kerajaan Pakatan Harapan diganti dengan Kerajaan BN datang daripada empat kawasan parlimen berkenaan.

Paling ketara adalah di kawasan Parlimen Tanjong Karang dan Sungai Besar apabila lebih separuh daripada jawapan 90 responden itu adalah mewakili suara di dua kawasan parlimen berkenaan.

Melalui analisis kaji selidik ini membuktikan kawasan tradisional bermula dari Kuala Selangor sehingga ke Sabak Bernam masih kuat dengan sokongan pengundi Umno dan BN.

Di kawasan Parlimen Kuala Selangor dan Tanjong Karang, 28 dari 50 responden mahukan kerajaan negeri ditukar daripada Pakatan Harapan, sementara 17 responden lagi tetap menyokong kerajaan negeri sedia ada manakala 5 lagi responden masih belum membuat keputusan muktamad.

Faktor Menteri Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar dan Pengerusi Umno Selangor yang disandang oleh Tan Sri Noh Omar mungkin menjadi faktor mengapa sokongan pengundi semakin kukuh terhadap Ahli Parlimen Tanjong Karang itu.

Malah kekerapan Noh turun padang dan mendekati masyarakat di kawasan parlimen sendiri juga dilihat sebagai kekuatan beliau untuk terus mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 1995 itu.

Sementara itu, di kawasan Parlimen Kuala Selangor dan Sabak Bernam, keyakinan responden secara puratanya masih tinggi terhadap wakil-wakil rakyat BN dan juga mahukan angin perubahan kepada tampuk pemerintahan negeri.

Aura kemenangan besar Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dilihat masih bersama Yang Berhormat muda itu apabila responden di kawasan itu juga dilihat terus setia bersama BN.

Kredibiliti wakil rakyat muda yang dilihat aktif dan bersikap rendah diri itu berjaya memenangi hati rakyat di kawasan parlimen dan Dun yang diwakilinya.

Dalam kaji selidik yang dilakukan itu, majoriti responden memberikan ulasan positif terhadap kehadiran dan kepimpinan yang dibawa oleh Budiman di Sungai Besar dan Pasir Panjang.

Secara puratanya, rakyat di kawasan berkenaan berpuas hati dengan khidmat dan amanah yang dijalankan oleh beliau sepanjang menyandang kedudukan kerusi berkenaan.

Penampilannya yang lebih bersahaja dan bersifat ‘kekampungan’ dilihat cukup dekat dengan hati pengundi tak kira golongan veteran ataupun orang muda.

Seorang lagi figura politik setempat yang memainkan peranan mengukuhkan kedudukan Umno dan BN di Parlimen Sungai Besar adalah Ketua Umno bahagiannya iaitu Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Bergerak atas platform Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Jamal dilihat sebagai figura yang sentiasa ke hadapan membela rakyat dalam beberapa isu penting.

Biarpun penampilannya di khalayak dengan pelbagai gimik yang dianggap sesetengah pihak sebagai melucukan, namun beliau berjaya menawan hati pengundi dan sokongan rakyat di bahagian Sungai Besar.

Gabungan dua figura politik ini dianggap sebagai ramuan terbaik untuk Umno dan BN mengekalkan kuasa tanpa masalah di kawasan parlimen Sungai Besar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");