Perak Hari Ini

Budak 10 Tahun Curi Tumpuan Lapah Daging Korban.

IPOH: Dalam kemeriahan majlis Korban Perdana Tahun 2017 yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berjaya mencuri perhatian kerana dilihat sedang sibuk melapah daging korban sambil ditemani bapanya.

Zainuri Abdul Aziz, 42 berkata, anaknya , Muhammad Aleef Syahmi memang sentiasa mengikutnya ke program-program korban,  mahupun aqiqah dan sering menyatakan minat untuk melapah daging.

 

“Anak bongsu dari tiga orang anak saya ini merupakan yang paling minat dan sentiasa bersemangat tatkala tiba musim-musim Hari Raya Aidiladha ini.

“Seperti hari ini, dia yang paling seronok untuk ke program ini walaupun terpaksa bangun seawal jam 5 pagi”, katanya.

 

Menurut Zainuri, keluarganya mempunyai latar belakang dalam ilmu menyembelih dan melapah daging, selain memang menternak lembu di kampung yang terletak di Lubuk Merbau.

“Saya mula belajar menyembelih dan melapah daging pada usia 27 tahun tapi hari ini, anak saya walaupun masih kecil dia telah berjaya mengeluarkan tulang rusuk, mengeluarkan lidah (lembu), memotong kulit, dan mengeluarkan limpa”, katanya.

 

Aleef ketika ditemui menyatakan dia tidak pun merasa takut untuk melakukanya malah dia menyimpan impian untuk menyembelih haiwan korban pada usia 13 tahun nanti.

“Saya mula minat untuk mempelajari  untuk melapah daging korban dengan ayah sejak saya berusia 6 tahun lagi”, ujar pelajar Sekolah Kebangsaan Jalan Panglima Bukit Gantang itu yang mengakui ini merupakan pengalaman pertamanya setelah mendapat izin bapa.

 

Dia merupakan antara 400 petugas yang terlibat dalam menjayakan program anjuran masjid ini, yang mana turut mendapat kerjasama dari beberapa agensi dan badan kerajaan antaranya Pejabat Menteri Besar, Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Penganjur, Abd Farid Salleh berkata sebanyak 21 haiwan ternakan yang dikorbankan termasuk dua ekor kambing yang diaqiqahkan.

 

“Ini merupakan kali pertama yang kita adakan secara besar-besaran di mana hari ini ia melibatkan lebih kurang 800 agihan daging”, katanya yang juga merangkap Imam Besar Masjid Negeri.

 

Program ini yang bermula sekitar jam 9.00 pagi ini turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria serta Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");