Isu Panas

DAP Terus Didesak Umum Nama Perwakilan

Parti DAP terus dituntut untuk membuat pengumuman dengan melampirkan senarai penuh nama-nama perwakilan berserta nombor kad pengenalan mereka yang layak mengundi dalam pemilihan parti itu pada 2012 di dalam akhbar pelbagai bahasa.

Anggota DAP Cawangan Bagan Luar M. Sarawana  berkata, sehingga hari ini DAP  belum menyiarkan nama mana-mana perwakilan  berserta cawangan yang mereka wakili.

“Kami sudah mohon DAP (umumkan senarai nama untuk) pemilihan semula anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP harus umumkan perwakilan yang layak mengundi semasa pemilihan DAP  pada 2012, ” katanya pada sidang media di sini, hari ini .

Katanya senarai tersebut sepatutnya diberi mengikut  negeri dan cawangan masing-masing bagi memastikan pemilihan semula dijalankan dengan telus dengan mengguna pakai  senarai pada tahun 2012  supaya kesahihan pemilihan tidak lagi dipertikai.

“Kami di peringkat akar umbi  tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan pada 1 Okt ini. Ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil,” katanya.

Tambah Sarawana  DAP perlu mematuhi arahan  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan perlembagaan parti dan bukannya mengikut telunjuk pimpinan tertentu yang telah menjatuhkan imej parti.

“Anggota-anggota DAP patut berwaspada dengan golongan yang sentiasa memperdaya tipu muslihat mereka kononnya mereka membuat keputusan demi parti tetapi sebenarnya tindak tanduk mereka  kelihatan menjurus ke arah mempertahankan  kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu Sarawana turut mempersoalkan tindakan peguam-peguam daripada kalangan parti itu yang tidak berjuang dalam membetulkan pemilihan CEC itu yang diisytihar tidak sah.

“DAP mempunyai ramai peguam yang selalu berjuang demi individu seperti Lim  Kit Siang dan Lim Guan Eng, mengapa peguam-peguam DAP ini tidak  berjuang untuk membetulkan pemilihan itu.

“Soalan kami apa yang  peguam-peguam ini buat  demi parti, kami mohon supaya mereka tidak melanggar undang-undang  dan memalukan parti.  Mereka yang tidak menghormati perlembagaan parti sendiri tidak layak memimpin parti,” katanya.- Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");