Isu Panas

Desak Pamer Senarai Layak Undi Pemilihan Semula CEC

PUTRAJAYA – Tiga anggota DAP hari ini menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendesak parti itu mempamerkan senarai nama yang layak mengundi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Taman Ehsan, Klang, L. Pannerselvam; Timbalan Pengerusi Taman Murni, Sepang A. Thirumalvalavan dan bekas pengerusi DAP Bagan Luar, Pulau Pinang G. Asoghan menyerahkan tiga memorandum itu kepada wakil RoS di perkarangan Kompleks D di sini lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita, ketiga-tiga perwakilan DAP itu mahu senarai nama, kad pengenalan dan cawangan 2,576 perwakilan berdasarkan senarai nama pada 2012 perlu dipamerkan di dalam akhbar serta portal berita tempatan sebelum pemilihan itu.

Pannerselvam berkata senarai itu bagi membolehkan DAP menjalankan pemilihan CEC secara telus dan terbuka serta sahih agar senarai nama perwakilan tidak dipertikaikan.

Menurutnya, pada pemilihan 2013, DAP didakwa telah membawa 120 cawangan tambahan sebagai undi hantu.

“Kami sudah hilang kepercayaan kepada DAP adakan pemilihan tanpa pamerkan senarai nama,” katanya.

Dalam memorandum itu, tiga perwakilan itu mahu kertas undi pemilihan itu dikira di hadapan perwakilan serta proses itu perlu diaudit oleh firma audit yang disahkan oleh RoS.

Pada 17 Julai, DAP menerima surat daripada ROS yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.

Arahan itu dikeluarkan berikutan ROS masih belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Menurut laporan media sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dilaporkan berkata pemilihan semula dicadangkan pada 10 September.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");