Jenayah

Dibunuh Kerana Kuih Laris

SHAH ALAM: Gara-gara kuih jualannya laku, seorang penjual kuih warga Bangladesh dibunuh dengan badannya dikerat.

Mayat mangsa ditemui di dalam longkang di Persiaran Kuala Langat, Seksyen 27, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata mangsa yang berusia 31 tahun itu dipercayai dibunuh, Khamis lalu akibat persaingan perniagaan.

Katanya, mayat mangsa ditemui selepas majikan mangsa membawa dua suspek warga Bangladesh, masing-masing berusia 32 tahun dan 40 tahun, yang juga bekerja sebagai penjual kuih ke Balai Polis Alam Megah, Seksyen 28, di sini.

“Khamis lalu, mangsa didapati hilang tanpa dapat dikesan dan pagi tadi, rakan mangsa menemui majikan mangsa dan memaklumkan mangsa dibunuh dua suspek berkenaan.

“Majikan mangsa kemudiannya datang ke rumah suspek bertanyakan perkara itu tetapi suspek tidak mengaku dan kemudian membawa suspek ke balai polis,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Shafien berkata, mangsa dipercayai dibunuh di sebuah pangsapuri di Seksyen 28.

Katanya, badan mangsa kemudian dimasukkan ke dalam plastik dan dibuang ke dalam longkang berkenaan.

“Punca kejadian adalah disebabkan persaingan perniagaan. Siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati kerana jualannya tidak mendapat sambutan.

“Selain itu, mangsa dan suspek juga ada mempunyai masalah hutang yang masih belum selesai,” katanya.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");