Perak Hari Ini

‘Disiniland’ Batu Kurau,Peluang Buat Pengunjung Dekati Haiwan Jinak

BATU KURAU:”Disiniland” sebutan namanya sahaja sudah unik bukan? Ia merupakan sebuah taman tema berkonsepkan zoo mini di Telok Setang, Batu Kurau berkeluasan enam ekar pastinya menjanjikan satu pengalaman menarik dan tersendiri buat pengunjungnya.

Bagaimanapun penulis menegaskan taman ini bukanya seperti zoo yang dipenuhi oleh pelbagai binatang juga binatang eksotik namun apa yang boleh diceritakan pengalaman menyentuh Rusa, Kuda juga melihat melihat secara dekat memberi kelainan kepada ‘Disiniland’ ini.

Pertemuan bersama salah seorang anak kepada pemilik Disiniland, Khalis Datuk Khairil Anuar,26, yang juga merangkap pengurus taman menceritakan berkaitan cetusan idea kepada pembinaan taman haiwan itu yang pada mulanya dibina hanya sekadar untuk hobi dan peliharaan keluarganya semata.

Pemilik Disiniland, Khalis Datuk Khairil Anuar

“Kami sekeluarga memang tidak pernah merancang untuk buka Disiniland, asalnya taman tema ini hanya untuk tempat percutian peribadi keluarga sahaja kerana di sini sememangnya kampung kami (Batu Kurau).

“Namun lama-kelamaan keluarga saya mencadangkan untuk buka taman tema ini kepada orang ramai kerana sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya.

Jelas Khalis, setakat hari ini sebanyak 20 spesis binatang antaranya seperti kuda, unta, burung, rusa, arnab dan burung unta.

“Bagi spesis burung sahaja kami ada 15 jenis spesis dan di Disiniland pengunjung didedahkan dengan kehidupan binatang secara dekat dan berpeluang menyentuh dan bergambar secara dekat dengan binatang yang ada.

“Di sini ada bermacam-macam aktiviti iaitu menunggang kuda, memanah, All-Terrain Vehicle (ATV),memanah berkuda, memancing ikan dan melihat secara dekat haiwan seperti unta, rusa, burung unta dan lembu bali,” katanya. 

Sentuh Haiwan Jinak dan Manja

Penulis sendiri mengakui teruja apabila memasuki kandang peliharaan sekumpulan rusa dan dihampiri oleh seekor rusa yang diberi nama ‘Awang’.

Boleh digambarkan secara keseluruhan, binatang peliharaan Disiniland cukup manja dan mesra dengan orang ramai, apabila anda mudah untuk menyentuh badan binatang itu dan memberinya makan.

Bukan itu sahaja, peluang bergambar secara dekat tidak dilepaskan dan pastinya peluang sebegitu tidak akan anda dapati jika berkunjung ke Zoo sebenar.

Begitu juga dengan unta Minah dan Abu yang juga boleh dilihat secara dekat dan memberinya makanan, anda juga boleh mendapatkan dan membeli makanan untuk binatang yang dijual di sebuah kedai dalam taman tersebut.

Bagi anda yang berminat boleh berkunjung ke Disiniland yang dibuka pada jam 10 pagi hingga 6.30 petang,manakala pada cuti umum dan Sabtu/Ahad taman dibuka pada jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang sebarang maklumat lanjut sila hubungi 018 572 4687 atau mendapatkan info semasa di www.disiniland.com.

Harga tiket masuk ke Disiniland bagi pengunjung berumur 13-59 tahun (RM6) manakala bagi kanak-kanak, 3-12 tahun (RM4) malah bagi aktiviti menunggang kuda, memancing ikan turut dikenakan bayaran yang berpatutan.

Disiniland Agrofarm & Resort turut menyediakan ruang penginapan inap desa yang memberi pengalaman serta suasana kampung kepada pengunjung berminat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");