Jenayah

Dua Pekerja Melecur Gudang Papan Terbakar

BUTTERWORTH — Dua pekerja melecur lebih 80 peratus selepas tidak sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran di sebuah gudang menyimpan papan lapis di jeti lama di sini awal pagi ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang, Mohd Faizman Che Amat berkata, dua pekerja lelaki berusia 40-an itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan gudang berkeluasan 2,000 kaki persegi itu terbakar pada kira-kira 3.16 pagi dan jentera pertama daripada Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

“Sebaik tiba di gudang menyimpan papan lapis itu, seorang pekerja memaklumkan terdapat dua rakan sekerjanya masih berada dalam gudang berkenaan dan tidak sempat menyelamatkan diri semasa kebakaran tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu berjaya dikeluarkan dari gudang berkenaan dan dihantar ke HSJ manakala seorang pekerja yang tidak cedera juga dibawa ke hospital yang sama untuk pemeriksaan.

Mohd Faizman berkata pihak bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengawal kebakaran itu daripada merebak ke kawasan berhampiran.

“Api marak dengan cepat kerana gudang itu menyimpan bahan mudah terbakar seperti kayu dan papan dan kebakaran itu memusnahkan 80 peratus bangunan (gudang) tersebut,” katanya.

Katanya sebanyak 28 pegawai termasuk anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu dan pihaknya mengambil masa masa lebih sejam untuk memadamkan keseluruhan api.

Operasi itu turut dibantu 100 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) daripada 10 kawasan antaranya PBS Padang Lalang, PBS New Ferry, PBS Permatang Pauh, PBS Raja Uda, PBS Berapit dan PBS Juru, katanya.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");