Jenayah

Dua Pengedar Dadah Cuba Rasuah Polis

BUTTERWORTH – Dua lelaki yang disyaki pengedar dadah diberkas polis apabila cuba memberi rasuah kepada penguat kuasa undang-undang terbabit ketika ditahan untuk tujuan pemeriksaan di depan sebuah motel di Jalan Kelasah, Seberang Jaya, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dua anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Seberang Jaya menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua lelaki itu dalam keadaan mencurigakan pukul 12.30 tengah malam dan pemeriksaan menemukan 56.55 gram heroin bernilai RM1,372.

“Dadah itu ditemui di bawah tempat duduk pemandu kereta bersama alat penimbang serta gunting dan ketika polis menahan dua lelaki itu, mereka cuba memberikan rasuah kepada anggota berkenaan dengan menghulurkan wang tunai sebanyak RM150.

“Pada masa sama suspek merayu supaya tidak menangkap mereka serta memujuk untuk selesaikan di situ dengan memberi wang berkenaan. Anggota polis memberi amaran bahawa tindakan itu (rasuah) salah di sisi undang-undang namun tidak diendahkan dua lelaki terbabit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing terhadap lelaki berusia 29 dan 32 tahun itu mendapati mereka positif dadah.

Sementara itu di GEORGETOWN, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata polis menahan seorang daripada dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki mati dipukul di tempat pembuangan sampah di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Beliau berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di rumah sewanya di Kampung Pinang, Air Itam pada 10.10 malam tadi dan suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Polis masih mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Mohd Yusri Mohamed, 38, dari Flat Kampung Melayu untuk membantu siasatan kes yang sama, katanya.

Dalam kejadian malam Jumaat lepas, Lim Kok Boon, 33, dari Bandar Baru di sini, dipukul oleh dua lelaki kerana disangka polis dan mangsa meninggal dunia semalam lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");