Jenayah

Duit RM25,000 Dalam Balang, Bawah Tilam Hangus

TUMPAT – Dalam sekelip mata wang tunai kira-kira RM25,000 hasil jualan lembu korban seorang warga emas yang disimpan bawah tilam dan wang dalam balang plastik milik ayahnya hangus dalam kebakaran di kampung Jejuluk Haji Senik hari ini.

Lapor Sinar Harian, kejadian jam 9.15 pagi dipercayai berpunca daripada api dapur gas yang lupa ditutup ketika panaskan ikan rebus.

Warga emas terbabit, Nik Fatimah Daud, 67, berkata, ketika kejadian dia berada di pasar tani Bendang Pak Yong untuk membeli keperluan dapur.

Katanya, sebelum turun ke pasar tani itu, dia ada panaskan ikan rebus manakala anak lelakinya, Mohd Nor Mat Yusof, 40, tidur di ruang tamu.

“Saya sebelum ke pasar tani ada panaskan ikan rebus, tapi lupa tutup dapur gas,” katanya.

Menurutnya, ketika dia leka membeli belah itu tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada jiran memberitahu rumahnya terbakar.

Katanya, dari pasar tani itu sejauh 500 meter dia sudah dapat melihat kepulan asap tebal.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya itu kerana bimbangkan keselamatan anak saya yang sedang tidur.

“Ayah saya yang uzur juga berada di dalam rumah itu dan hanya mampu berdoa supaya mereka selamat,” katanya.

Menurutnya, sebaik melihat ayahnya, Daud Abdul Rahman, 91, dan anak selamat hatinya lega.

“Mujur mereka selamat tetapi kami tinggal sehelai sepinggang.

“Wang tunai hasil jualan lembu korban dan wang simpanan saya yang lain serta barang kemas tidak dapat diselamatkan.

“Begitu juga wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan milik ayah saya yang disimpan empat tahun lalu dalam botol plastik turut hangus,” katanya.

Sementara itu,Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba, Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.41 pagi.

“Satu jentera dari Balai Bomba Pengkalan Kubor dengan kekuatan anggota seramai 6 orang ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

“Semasa anggota bomba sampai, api sudah marak bagaimana pun penghuni rumah terbabit selamat,” katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");