Isu Panas

Elak Politik Kaum Pada PRU14

SITUASI politik Malaysia akan terus menjadi tidak sihat sekiranya politik kaum masih berlaku pada PRU14.

“Sekiranya keputusan PRU akan datang sama seperti PRU lalu, iaitu BN disokong pengundi Melayu, manakala pembangkang disokong pengundi Cina, ia akan menyebabkan politik Malaysia dalam kedudukan berbahaya.

“Dari segi kepentingan negara, perpecahan kaum seperti ini perlu dielakkan,” kata Pengkaji Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Singapura, Han Fook Kwang.

Fook Kwang menjangkakan, isu penting yang akan dibangkitkan pada PRU14 masih berkaitan dengan perkauman.

“Berdasarkan keputusan PRU lalu, pengundi Melayu masih beri sokongan padu kepada Umno.

“Bagi Umno, undi Melayu cukup penting buat mereka, sebab itu Umno akan terus berusaha mempertahankan segala kepentingan untuk Melayu.

“Sekiranya keadaan ini masih berlarutan, keputusan PRU14 dijangka tidak jauh beza dengan keputusan PRU lalu,” kata Fook Kwang.

Beliau percaya pada PRU14, pengundi Cina akan terus sokong DAP sehingga menyebabkan MCA terus berada dalam kedudukan lemah.

Ahli akademik dari Singapura ini turut yakin bahawa PRU14 adalah PRU yang amat penting buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bukan sahaja penting bagi BN, tetapi juga kepada Najib sebagai pilihan raya yang akan menentukan sejauh mana kepercayaan golongan pengundi terhadap kepimpinannya.

“Saya percaya Najib akan berusaha sedaya-upaya untuk mencapai kemenangan demi mempertahankan imejnya,” katanya.

Kerajaan diminta sokong cadangan Maju Holdings

Kerajaan diminta memberi sokongan kepada Maju Holdings atas tawarannya membeli keseluruhan aset dan liabiliti Plus Malaysia Bhd.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zhong), Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, Maju Holdings telah menyatakan komitednya untuk tidak menaikkan kadar tol Plus sehingga akhir tempoh konsesi semasa yang akan berakhir pada 2038.

“Saya yakin tawaran ini amat menarik dan kerajaan perlu memikirkan dengan secara mendalam.

“Sekiranya kadar tol tidak dinaikkan dalam tempoh 20 tahun akan datang, ia pastinya satu berita yang menggembirakan semua pengguna Plus,” kata Yin Huah seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamed baru-baru ini, bahawa syarikatnya sedia mengemukakan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti Plus Malaysia Bhd daripada UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ia amat baik kepada semua pihak, malah kepada negara, pemegang saham sedia ada termasuk 14 juta pencarum KWSP.

“Mereka sewajarnya menimbangkan tawaran ini dan nilainya dengan teliti,” kata Abu Sahid.

Sementara itu, Yin Huah berkata, selama ini rakyat dan pengguna lebuh raya amat tidak puas hati terhadap syarikat konsesi lebuh raya kerana menaikkan kadar tol seperti yang termeterai perjanjian dengan kerajaan.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan beri sokongan terhadap tawaran oleh Maju Holdings. Sekiranya syarikat korporat tersebut ambil alih Plus, sudah tentu kerajaan dan rakyat tidak akan lagi menanggung beban selepas ini,” katanya.

Rakyat Malaysia minat ceburi perniagaan

Kebanyakan rakyat di Malaysia dikatakan lebih berminat jadi usahawan daripada  makan gaji.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong, Malaysia mempunyai ramai usahawan yang tidak kenal putus asa dan mempunyai semangat untuk berjaya dalam bidang perniagaan diceburi.

“Berbanding dengan rakyat Singapura, rakyat Malaysia lebih gemar menjadi usahawan. Minat menjalankan perniagaan sendiri kini seperti sudah menjadi budaya di negara kita,” katanya seperti disiarkan dalam Oriental Daily.

Menurutnya, semua usahawan di negara ini perlu sedia menghadapi persaingan dengan memasarkan produk ke pasaran lebih luas.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan industri kecil dan sederhana.

“Dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan, kerajaan dijangka mengumumkan insentif menarik kepada industri kecil dan sederhana,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");