Membawang Hari Ini

Elemen Pop Retro Inspirasi Noh Salleh

PENCAPAIAN bersama band muzik, Hujan secara langsung telah banyak membuka ruang buat vokalisnya, Noh Salleh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh,32, melebarkan sayap dalam industri muzik sebagai seorang penulis lirik dan penyanyi.

Merakam kembali detik bersama kumpulan tersebut sejak tahun 2005 lalu, pelbagai momen seni berjaya dicipta kumpulan ini sekali gus, meletakkan Hujan sebagai antara kumpulan muzik disegani.

Tidak hanya di situ, sisi kerjaya muzik Noh Salleh juga telah dikembangkan terhadap penulisan serta penciptaan lagu buat penyanyi tempatan. Antaranya ialah menulis lirik dan lagu buat isterinya, Mizz Nina, Altimet, Goldfish & Blink dan Ezlynn.

Terbaru, Noh meneruskan karier secara solo menerusi single berjudul Angin Kencang. Lebih manis, lagu yang telah pun melakukan penggambaran muzik video di Jepun itu turut tercalon sebagai antara 12 finalis di Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) lalu.

Seiring kejayaan diraih, bintang kelahiran Sarawak itu telah mengeluarkan album solo beliau berjudul Angin Kencang, sebuah album repackaged yang muncul dengan pembaharuan pada muka depan selain penambahan tiga buah lagu baru iaitu Renjana, Mr. Polia dan Sarawak.

Kerjasama karyawan Indonesia

Jelas Noh, album tersebut mempunyai elemen pop retro yang merupakan antara sisi lain daripada penyanyi ini yang hanya dapat direalisasikan secara solo. Pada masa sama, ia juga boleh diibaratkan sebagai sebuah pengembaraan muzik buat yang memberi kepuasan bagi dirinya.

“Sebenarnya, album ini sudah pun lebih dua tahun dilancarkan di Malaysia. Bagaimanapun, untuk pelancarannya di Indonesia, kami selitkan tiga buah lagu baru. Kiranya, Angin Kencang yang repackage ini dilancarkan secara rasmi, bukan saja di negara ini, tetapi juga di Indonesia.

“Peminat di sini juga boleh muat naik lagu-lagu yang terkandung dalam album ini menerusi platform digital.

“Sementara itu, kalau mahu mendapatkan album secara fizikal, kami juga ada melakukan mini showcase di beberapa lokasi terpilih,” kata Noh yang turut membayangkan, proses menghasilkan album Angin Kencang cukup memberi makna besar, apatah lagi ia dihasilkan menerusi kerjasama karyawan dari negara jiran.

“Menerusi tiga buah lagu baru, saya amat berharap agar peminat muzik dapat menerima album ini dengan baik. Pada masa sama, saya juga banyak menerapkan elemen Retro French 60 dan 70-an, hasil dari idea bersama dengan rakan-rakan seni dari Indonesia.

“Rasa sangat ‘terinspirasi’ sebab dapat kolaborasi dengan mereka yang di luar daripada skop kerjaya saya sebelum ini. Satu pengalaman bermakna dan saya dapat tambah ilmu sepanjang proses menghasilkan Angin Kencang,” jelas Noh optimis lapor Sinar Harian.

Mengharapkan reaksi positif daripada pencinta muzik tempatan, Noh turut meletakkan impian sama agar album ini turut diterima baik daripada para peminat di Indonesia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");