Sukan Hari Ini

FAM Kini Berada Di Landasan Tepat

KUALA LUMPUR: Kecemerlangan skuad muda bola sepak negara di beberapa kejohanan serantau membuktikan bahawa pembaharuan yang dibawa kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini berada pada landasan tepat.

Bermula kejayaan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara layak ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China Januari ini, mara ke final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada bulan lalu dan kejayaan skuad B-18 layak ke final Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2017 nyata membanggakan badan induk itu.

Walaupun pencapaian itu cukup memberangsangkan ketika ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap ia sebagai satu cabaran besar buat mereka untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat selepas ini.

“Sudah tentu kejayaan pasukan muda kita iaitu skuad B-22 dan B-18 menggegar kejohanan serantau menggembirakan FAM selaku badan yang bertanggungjawab ke atas skuad negara.

“Malah, ia selari dengan misi dan visi Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang mahu membentuk sebuah skuad jangka panjang dengan menitik beratkan soal pembangunan.

“Bagaimanapun, ini cabaran besar kepada semua kepimpinan FAM untuk terus mengekalkan rekod baik ini. Kalau tidak orang akan pandang rendah kepada FAM.

“Kita sudah berada di atas landasan betul dan sekarang semua pihak terutama di FAM kena kerja lebih keras lagi bagi memastikan bola sepak kita konsisten untuk tempoh lama,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Pembaharuan yang dibawa Tunku Ismail sejak memimpin FAM pada penghujung Mac lalu makin menunjukkan perubahan apabila kejutan demi kejutan berjaya di lakar pasukan negara.

Paling mencuri tumpuan sudah pastinya kejayaan manis skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terhebat Asia beraksi di China tahun depan apabila muncul juara Kumpulan H dalam pusingan kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok, Julai lalu.

Yusoff berkata, beliau percaya hubungan baik dimiliki Tunku Ismail dengan kelab-kelab terkemuka Eropah pastinya akan memberi manfaat yang lebih besar buat pemain muda untuk mencipta nama di luar negara.

“Saya tak rasa kejayaan kita ini hanya kejayaan ‘mee segera’. Sebaliknya saya yakin dengan ketokohan Tunku Ismail serta jaringan dan rangkaian baiknya bersama kelab terkenal dunia boleh memberi impak positif kepada bola sepak negara.

“Ketika ini, kita sudah ada pemain berkualiti dan mereka harus diberi lebih banyak lagi pendedahan. Apapun, semua pihak perlu bekerjasama dengan FAM untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");