Berita Hari Ini

Gabungan 25 NGO Bantah Pesta Arak

SHAH ALAM – Gabungan 25 Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini memohon agar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan sekiranya terdapat cadangan pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ mahu dianjurkan di sini.

Pengerusi gabungan berkenaan, Nor Nazilah Idris berkata, baginda selaku ketua agama Islam di Selangor berkuasa untuk menghalang sebarang aktiviti atau program yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam daripada dilangsungkan di sini.

“Memorandum berkenaan hal ini telah pun kami serahkan kepada wakil Istana Bukit Kayangan pagi tadi dan kami percaya memorandum berkenaan akan dibawa ke pengetahuan baginda,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan terhadap penganjuran festival minuman keras itu di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari, hari ini.

Kira-kira 50 anggota NGO antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Biro Aduan Masyarakat Selangor dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia hadir dalam perhimpunan bantahan berkenaan yang diadakan selepas solat Jumaat.

Pada Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta tersebut atas sebab keselamatan, selain ia juga bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Okt di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur, dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza daripada 43 kilang arak dari seluruh dunia. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");