Membawang Hari Ini

Gadis ‘Tahi Lalat’ Jadi Calon Ratu Cantik

PETALING JAYA: Gadis ini dahulunya tertekan dengan asakan soalan demi soalan mengenai tahi lalat yang memenuhi hampir seluruh wajah dan badannya.

Sering kali mengurungkan diri di dalam bilik dan menangis, tetapi tindakan itu hanya membuatkan dia kurang yakin berdepan dengan khalayak.

Itulah yang dirasai Evita Patcey Edgar Delmundo, 20, sebelum dia kini menjadi lebih yakin sehingga bertuah apabila disenaraikan dalam saringan 50 peserta awal bagi pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2018.

Dia dan keluarga pernah berjumpa dengan doktor pakar mengenai tanda kelahirannya dan kali terakhir semasa usianya 18 tahun.

Evita yang berasal dari Kudat, Sabah ini memberitahu bahawa ia hanyalah tahi lalat biasa cuma bilangannya terlalu banyak.

“Banyak sangat, tak terkira. Mungkin lebih 100 tahi lalat ada di muka dan seluruh badan. Masa kecil dulu pernah terfikir nak buang sebab sering diejek dan dihina.

“Tapi tak boleh buang sebab tahi lalat tumbuh di seluruh badan. Kalau nak buang, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan saya,” katanya memetik laporan daripada mStar Online.

Evita terdahulu pernah terpilih dalam saringan 50 peserta awal Miss Universe Malaysia 2018.

Walaupun pernah berhasrat untuk membuang kesemua tahi lalat, tetapi anak kedua dari lima beradik ini kini lebih selesa dengan penampilannya itu.

“Saya lebih yakin dengan keadaan sekarang. Kalau saya buang (tahi lalat), saya bukan lagi Evita. Saya bangga dengan diri saya sekarang.

“Sebab ini adalah anugerah Tuhan. Jika saya buang, ia menunjukkan saya tidak menghargai ciptaan Tuhan,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Kini Calon Ratu Cantik

Evita turut mendedahkan bahawa dia tidak perlu bersolek tebal dan tidak pernah mengenakan bedak asas pada wajahnya.

“Saya tidak perlu bermekap tebal untuk menutup tahi lalat pada wajah. Biarlah orang melihat tahi lalat ini sebagai keunikan saya.

“Lagipun, kecantikan bukan hanya terletak pada wajah semata-mata, tetapi cantik juga perlu diserlahkan secara dalaman,” katanya yang pernah menjadi mangsa buli semasa kecil sehingga diejek sebagai ‘monster’ (raksasa).

Evita mengakui bersyukur kerana ramai yang memberi sokongan kepadanya selepas diumumkan 50 peserta awal dalam pertandingan ratu cantik berprestij itu.

Sebagai persediaan awal, dia yang berbakat menyanyi dan bermain gitar akan berlatih berkomunikasi, cara berjalan ‘catwalk’ selain memperbanyakkan pengetahuan am.

“Ada 49 gadis cantik lain turut disenaraikan. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras untuk menonjolkan sesuatu seperti kebolehan yang lain daripada lain,” katanya yang tidak mahu menjadikan keunikan tahi lalat sebagai sandaran disenarai pendek bagi merebut gelaran yang diidamkan ramai wanita.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");