Perak Hari Ini

Galak Pelajar Sekolah Bantu Warga Emas Uzur

BATU KURAU:Penglibatan dan pendedahan secara dekat para pelajar dalam program tanggungjawab sosial (CSR) dalam mendekati golongan yang kurang bernasib baik mampu menanamkan sikap murni dan kualiti modal insan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, penglibatan para pelajar sekolah menengah dari empat sekolah di Dun Batu Kurau dalam program Ziarah Kasih kali ini satu pendekatan bagi merealisasikannya.

“Kita memberi pengalaman baharu kepada mereka mengenai cara pelaksanaan program ziarah kasih dan mereka akan menyaksikan sendiri dan mendekati sebahagian masyarakat kita yang terlantar sakit serta uzur.

“Sebagai seorang belia mereka perlu terlibat dan seharusnya ada perancangan di peringkat organisasi sekolah menerusi khidmat masyarakat sebegini bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya sejurus selepas melawat ke lapan buah rumah penduduk warga emas yang uzur di Kampung Anak Kurau di sini hari ini.

Beliau yang juga merangkap ADUN Batu Kurau berkata, disamping memberikan sumbangan program itu juga bertujuan menanamkan sifat suka membantu dan mengingati orang yang kurang bernasib baik.

“Kita mahu mereka lengkap dengan kecemerlangan dan nilai murni kasih sayang kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Pada program tersebut sebanyak empat buah sekolah melibatkan 16 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Kamarudin, Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Perak dan Sekolah Menengah Agama Syubbanniah.

Mohd Hikram Ismail

Terdahulu, Datuk Amin berkesempatan melawat lapan buah rumah warga emas yang uzur dan menyampaikan bantuan barangan keperluan rumah serta menyediakan pemeriksaan kesihatan pada sesi kunjungan itu bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

Sementara itu, bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Mohd Hikram Ismail 16,menyifatkan program ziarah Kasih merupakan satu pengalaman pertama buat dirinya yang cukup menarik dan menyentuh hatinya.

“Ini kali pertama saya ikut dan saya mahu membantu masyarakat yang susah satu masa nanti,” katanya.

Bagi Khairi Ammar Rozaki 16, dari Sekolah Menengah Agama Syubbanniah turut berkongsi pengalaman teruja dan menarik diperolehinya menerusi program tersebut.

Khairi Ammar Rozaki

“Amat seronok dan ia memberi banyak manfaat bahawa rakyat perlu menanamkan rasa kasih sayang pada semua malah pemuda masa kini perlu diterapkan sikap membantu orang susah di negara kita.

“Saya berharap lebih banyak lagi program ziarah kasih dianjurkan dan saya sendiri bersemangat sekali ingin membantu apabila besar nanti,” katanya.

Antara rumah yang dilawati pada sesi Ziarah Kasih kali ini ialah pasangan suami isteri yang menghidap penyakit Strok di Kampung Anak Kurau di sini.

Menurut, anaknya Rozita Mat Zin 33, ayahnya Mat Zin Ahmad 84, menderita penyakit strok di bahagian otak sejak empat bulan yang lalu manakala ibunya Nuriah Yaakob 71, telah menghidap penyakit itu sejak enam tahun lalu.

“Memang kami kini bergantung terhadap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan yang diterima ibu untuk membeli lampin pakai buang dan ubatan namun saya berharap ayah juga boleh mendapat bantuan itu bagi mengurangkan bebanan ditanggung kami sekeluarga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");