KUANTAN: Suami kepada suri rumah yang dibunuh penyamun di kediamannya di Kampung Hijrah, Penor, dekat sini, semalam berharap pembunuh isterinya dapat ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal.
Nasrul Mansor, 32, berkata, dia menyerahkan kepada polis untuk menyiasat serta menahan pembunuh isterinya, Norhasilah Ismail, 34, seterusnya membawa suspek ke muka pengadilan.
Dia bagaimanapun sedikit bimbang kerana usaha polis mengesan penjenayah itu mungkin terjejas berikutan kotak perakam kamera litar tertutup (CCTV) hilang, mungkin dilarikan suspek.
“Kotak yang merakamkan enam CCTV diletakkan di sebuah bilik rumah ini, …namun penjenayah menggeledah bilik itu melarikan alat itu dan pelbagai barang berharga lain termasuk jam tangan Rado yang saya hadiahkan kepada isteri,” katanya.
“Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan dan menegakkan keadilan untuk isteri,” katanya ketika ditemui BH Online, di kediaman ibunya di Kampung Peramu, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, menurut laporan media tersebut, Norhasilah ditemui mati di ruang tamu rumah oleh Nasrul kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas ditikam penyamun yang menceroboh rumah itu yang baharu diduduki sembilan bulan lalu.
Terdahulu, ibu kepada tiga cahaya mata itu baru pulang dari menghantar anak keduanya, Mohd Abid, 8, ke sekolah kira-kira jam 8 pagi bersama anak bongsunya, Mohd Aqil yang berusia empat tahun.
Mangsa dipercayai diserang seorang lelaki memakai topeng yang berada dalam rumah dan berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam menggunakan objek tajam di bahagian kanan perut serta kiri dada menyebabkannya meninggal dunia manakala Mohd Aqil tidak dicederakan dan dikurung di sebuah bilik.
Jenazah Norhasilah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu kira-kira jam 3 pagi tadi selepas bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kotak perakam CCTV dilarikan penjenayah berkenaan dan pihaknya sedang mencari petunjuk lain bagi menyelesaikan kes itu.
“Bedah siasat dilakukan mendapati mangsa maut kerana tikaman di bahagian dada yang mengenai jantungnya,” katanya.