Jenayah

Harga Pasport Malaysia Hingga RM250,000 Di Pasaran Gelap

Dari 76 juta pasport hilang seluruh dunia, 192,402 adalah pasport Malaysia. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata maklumat ini adalah berdasarkan pangkalan data ibu pejabat INTERPOL di Perancis.

Beliau berkata pasport Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia kerana ciri keselamatannya dan diterima oleh lebih 150 buah negara tanpa perlu visa.

Zahid memberitahu demikian media Malaysia selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-86 INTERPOL di Pusat Konvensyen Antarabangsa China, di Beijing, Selasa.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Duta Besar Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya.

Muhamad Fuzi berkata untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 52,459 rakyat Malaysia kehilangan pasport mereka dan direkodkan dalam pangkalan data INTERPOL.

“Kita memandang serius perkara ini kerana kemungkinan pasport Malaysia dicuri atau dicari oleh sindiket untuk mendapat pasport kita,” katanya.

Beliau memberitahu di pasaran gelap harga satu pasport Malaysia adalah antara RM100,000 hingga RM250,000.

Beliau berkata sebanyak 59 rakyat Malaysia di luar negara yang dikehendaki PDRM disenaraikan sebagai notis merah INTERPOL kerana terbabit dalam jenayah bunuh, Macau Scam, keganasan, kes berkaitan dadah dan senjata api.

Sementara itu Zahid berkata pelaksanaan kepolisan moden amat penting bagi Malaysia untuk memastikan kerjasama antara negara anggota INTERPOL dalam memerangi segala bentuk jenayah antarabangsa dengan lebih berkesan.

Beliau berkata perlakuan jenayah antarabangsa kini semakin kompleks seperti jenayah siber, keganasan dan jenayah rentas sempadan, yang didapati kegiatan tersebut saling berkaitan.

Katanya penguasaan teknologi adalah penting untuk membolehkan polis berada di hadapan dalam memerangi jenayah antarbangsa.

“Biometrik cap jari adalah bahan bukti utama bagi memastikan setiap pesalah berkenaan dapat dijejaki segera. Sistem pengenalpastian wajah perlu kerjasama dengan negara-negara INTERPOL,” katanya.

“Kita berpuas hati dengan kerjasama erat (Polis Diraja Malaysia) PDRM dan INTERPOL, keberhasilan jejak penjenayah dari luar negara atau penjenayah Malaysia di luar negara dijejaki dengan segera dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata peranan INTERPOL semakin penting kerana perkongsian data dengan PDRM adalah secara masa sebenar seperti kes kecurian dan Kehilangan Dokumen Perjalanan (SLTD), cap jari, senjata api, kenderaan curi dan senarai orang dikehendaki.- 26/9/2017

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");