Sukan Hari Ini

Harimau Malaya Boleh Kehilangan Mata – Velappan

KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak menghantar skuad Harimau Malaya ke Pyongyang bagi aksi Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 5 Oktober ini mungkin mengundang risiko.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan yang melihat penangguhan buat kali ketiga perlawanan Kumpulan B itu sebagai campur tangan kerajaan.

Katanya, AFC boleh menghadiahkan kemenangan percuma kepada Korea Utara andai FAM berkeras untuk tidak menghantar pasukan ke Pyongyang meskipun jaminan keselamatan sudah diberikan oleh pasukan tuan rumah.

“Pasukan tuan rumah sudah memberi jaminan keselamatan dan sudah disahkan oleh AFC jadi skuad kebangsaan seharusnya tiada masalah untuk bermain di sana.

“Bila penangguhan ini dibuat atas arahan pihak Wisma Putra, maka ini dilihat sebagai campur tangan kerajaan.

“Semua ini disebabkan oleh politik antarabangsa. AFC boleh membatalkan perlawanan dan menghadiahkan kemenangan kepada pasukan tuan rumah Korea Utara,” katanya.

AFC hari ini mengumumkan menerima permohonan penangguhan perlawanan daripada FAM selepas arahan terbaru larangan perjalanan ke Pyongyang oleh Kementerian Luar Negeri.

Badan induk bola sepak Asia itu memaklumkan perkara itu akan dirujuk oleh jawatankuasa berkenaan bagi menentukan status perlawanan terbabit.

Ini kali ketiga AFC terpaksa menunda aksi kedua-dua pasukan itu kerana masalah ketegangan politik yang melanda Korea Utara.

Pada awalnya perlawanan yang dijadual berlangsung pada 28 Mac di Stadium Kim Il-Sung ditunda kepada 8 Jun, dan tarikh itu sekali lagi ditunda kepada 5 Oktober kerana masalah sama.

Bagaimanapun perlawanan antara Korea Selatan dengan Lubnan pada 5 September di stadium itu tidak berdepan sebarang masalah.

Andai AFC membuat keputusan drastik menghadiahkan kemenangan kepada Korea Utara, ia pasti memberi kesan besar buat skuad kendalian Nelo Vingada yang kini menduduki tangga tercorot dengan satu mata selepas dua perlawanan.

Velappan yang bersama AFC selama 29 tahun bermula pada 1978 hingga 2007 berkata, aksi di gelanggang berkecuali hanya akan dilangsungkan menerusi persetujuan kedua-dua pasukan.

“Sepatutnya perlawanan ini tidak boleh ditangguhkan lagi selepas tiga kali ditangguhkan atas alasan sama. Beraksi di gelanggang berkecuali pula boleh diadakan jika kedua-dua pasukan bersetuju.

“Ini bukan kes pertama berlaku, dulu ada perlawanan membabitkan negara yang mempunyai hubungan kurang baik Arab Saudi dengan Iran, Iraq dengan Kuwait, Bangladesh dengan Pakistan tapi perlawanan ini tetap diteruskan, tiada masalah.

“Bola sepak adalah mengenai persahabatan, dengan sukan ini akan membuka jalan kepada perhubungan antara mana-mana negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");