KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia harus menghargai jasa dan pengorbanan kira-kira 10,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sempena Hari Raya Aildiladha terutama di sempadan Malaysia-Thailand serta di Laut Sulu demi mempertahankan kedaulatan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata semangat pengorbanan anggota ATM ini tidak ternilai dan keamanan yang dinikmati rakyat sekarang ini termasuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan semalam merupakan hasil pengorbanan anggota tentera.
“Ada yang meninggal dunia dan ada yang menjadi cacat seumur hidup, maka pengorbanan ini amat dirasai oleh semua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Korban dan Aqiqah di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, pada Jumaat lapor Bernama.
“Saya mewakili Menteri Pertahanan dan pihak kementerian, mengucapkan selamat berjuang demi mempertahankan bumi Malaysia ini daripada segala bentuk ancaman dan jasa mereka ini sesungguhnya tidak akan kita lupai,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 30 ekor lembu disembelih di masjid berkenaan hasil sumbangan Kementerian Pertahanan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam sempena program korban dan aqiqah manakala daging-daging ini akan diagihkan kepada penduduk sekitar kariah masjid dan juga rumah-rumah kebajikan dan anak-anak yatim.
Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.