Berita Hari Ini

Kerajaan Bakal Beri Bantuan Tambahan Khas Kepada Pelajar Orang Asli

PEKAN: Kerajaan akan memberikan bantuan tambahan kepada pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha untuk membantu meringankan beban selain menggalakkan mereka untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai menteri kewangan, bantuan secara sekali itu akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018.
“Kerajaan amat menggalakkan anak-anak Orang Asli terus mencapai kejayaan sehinggalah ke menara gading iaitu ke universiti. Sejak 2010 sehingga 2016, kita telah mempunyai seramai 72 pelajar Orang Asli yang belajar di luar negara, manakala 767 pelajar Orang Asli kini sedang menuntut di peringkat IPTA,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Mencupu, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Jamaluddin Kasbi dan anggota Dewan Negara Datuk Isa Ab Hamid. Najib berkata bantuan tambahan itu diberikan bagi memastikan pelajar Orang Asli tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan hanya disebabkan kegkangan kewangan.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memberikan bantuan RM3,800 untuk satu semester bagi setiap pelajar Orang Asli yang mengikuti program diploma dan RM4,600 satu semester untuk pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian dalam program ijazah.
Dalam usaha untuk meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat Orang Asli di negara ini, Najib berkata kerajaan juga sedang merangka beberapa lagi penambahbaikan terhadap program sedia ada untuk memastikan Orang Asli merasai mereka dekat di hati kerajaan.
“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kita sentiasa memastikan bahawa masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan, malah kita mahu masukkan mereka dalam arus pembangunan perdana.
Justeru, apa sahaja pembangunan yang kita lakukan mestilah bersifat inklusif dalam erti kata semua Orang Asli juga mesti terangkum dalam program-program yang kita laksanakan,” katanya.
Selain itu, Najib turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program rumah inap desa di bawah kendalian JAKOA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.
Menurutnya ia sebagai tambahan kepada peruntukan RM2 juta yang telah disediakan oleh kerajaan untuk program keusahawanan Orang Asli.
Menyentuh tentang kerja-kerja mengukur tanah milik Orang Asli di seluruh negara, Najib berkata ia kini dalam peringkat akhir dan dijangka akan selesai selepas akhir bulan ini sebelum ia diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");