Isu Panas

Kerajaan Selangor Disaran Segera Tandatangani IBR

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor disaran segera mencontohi negeri-negeri lain yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) memandangkan hanya negeri itu masih belum berbuat demikian.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengadakan perbincangan berhubung ikrar tersebut.

“Setakat ini, 90 organisasi negeri dan persekutuan di Selangor sudah menandatangani IBR, malah jumlah komitmen yang ditunjukkan di sini adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain dan kita sasar bilangannya akan bertambah menjelang hujung tahun ini.

“Cuma kerajaan Selangor masih belum beri kata putus. Kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Kelantan akhirnya akur untuk turut serta dalam IBR dan diharapkan kerajaan Selangor juga dapat ambil langkah sama serta tidak terkecuali dalam hal ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani IBR dan bacaan ikrar oleh kakitangan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Yacob.

?????????????????????Upacara berkenaan turut disaksikan Pengerusi PWS, Datuk Ramli Mahmud.

Mengulas lanjut, Wan Ramli berkata bagi sektor pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor pula, hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) belum menandatangani IBR namun pihaknya yakin kedua-dua agensi itu akan melakukannya sebelum hujung tahun ini.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain yang beroperasi di Selangor untuk segera menyertai langkah terbaharu SPRM itu dalam usaha mencegah gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Mohammad berkata langkah yang diambil PWS untuk bekerjasama dengan SPRM adalah sebagai janji kepada pewakaf bahawa agensi itu akan mentadbir setiap harta serta wang yang disalurkan dengan telus dan berintegriti. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");