Isu Panas

Khairy Cekap Santuni Anak Muda Di Media Sosial, Kata Peguam

KUALA LUMPUR: Seorang peguam aktivis memuji Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menurutnya lebih mahir berbanding sesetengah ahli politik Pakatan Harapan (PH) dalam menyantuni anak muda di media sosial.

Syahredzan Johan berkata dengan mengelak muat naik mengenai politik semata-mata, Khairy lebih cekap berkomunikasi dengan orang muda, bakat yang menurutnya tidak kelihatan di kalangan pemimpin muda PH di media sosial.

“Bila dia twit, dia twit mengenai bola sepak dan Game of Thrones, ini antara perkara diminati orang muda,” katanya pada sebuah forum mengenai politik dan pemuda malam tadi.

“Sesetengah ahli politik PH mencuba tetapi mereka twit mengenai kumpulan muzik yang orang muda sekarang tidak tahu lagi, seperti Radiohead,” katanya dalam sindiran ditujukan kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang turut hadir sebagai panelis.

Rata-rata panelis pada satu forum dianjurkan Kelab Bangsar Utama itu menyifatkan ahli politik tidak boleh terlalu bergantung kepada peranan media sosial sehingga boleh lupa peranan penting bertemu dengan pengundi secara fizikal.

Menurut laporan portal Free Malaysia Today lagi, mereka berkata ahli politik muda perlu seimbang dengan interaksi sebenar dan turun padang.

Dyana Sofya Mohd Daud, bekas calon DAP di pilihan raya kecil Teluk Intan pada 2014, berkata berdasarkan pengalamannya, interaksi fizikal dan pertemuan “face to face” amat penting.

“Di Teluk Intan, jika kita (PH) hanya bergantung kepada media sosial juga belum mencukupi untuk menarik minat pengundi di kawasan itu.

“Ahli politik perlu pergi ke kawasan tumpuan penduduk seperti pasar dan masjid untuk berjumpa mereka sendiri.

“Kadang-kadang mereka hanya nak lihat calon itu sendiri dari segi muka dan perwatakan. Jika mereka rasa calon itu ada aura untuk menang mereka akan pilih,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penting untuk setiap ahli politik untuk “turun padang” di kawasan kampung-kampung untuk mendekati rakyat.

Katanya, media sosial penting tetapi peranan ahli politik mendekati rakyat lebih penting.

“Pada saya pengunaan media sosial itu 30% dan 70% lagi interaksi dengan penduduk terutama di luar bandar yang susah nak mengakses internet.

“Barulah seimbang di samping menggunakan media sosial yang menjadi peranan utama untuk menyampaikan maklumat dengan lebih cepat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");