Jenayah

Kilang Roti Diarah Tutup

KOTA BHARU: Sebuah kilang roti diarah tutup ekoran tahap kebersihan tidak menepati piawaian ditetapkan dalam operasi Pejabat Kesihatan Kota Bharu di Jalan Hospital Berek 12, Kota Bharu di sini semalam.

Menurut laporan daripada Sinar Online, tindakan penutupan tersebut dibuat selepas kilang terbabit antara 24 premis yang diperiksa menerusi operasi bersepadu Jabatan Kesihatan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sekitar daerah ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Kota Bharu, Mat Ghahit Mohamed berkata, pemeriksaan dijalankan pada jam 1 tengah hari mendapati kebersihan kilang roti yang membekalkan makanan di negeri ini berada pada tahap 50 peratus ke bawah.

Beliau berkata, notis arahan tutup selama 14 hari diberi kepada pengusaha premis itu bagi memastikan ia dibersihkan terlebih dahulu.

“Hasil pemeriksaan di kilang roti itu mendapati, bahan mentah makanan berada dalam keadaan mencurigakan kerana tiada perlindungan dan terdedah kepada kehadiran tikus yang boleh menyebabkan penyakit kencing tikus.

“Kita juga mendapati, dua pekerja kilang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin serta tidak memakai penutup kepala ketika mengendalikan makanan,” katanya.

Tambah beliau, kilang berkenaan perlu memenuhi kehendak Jabatan Kesihatan dari segi pengendalian makanan, latihan, perlindungan dan kebersihan peralatan dalam masa 14 hari.

Sementara itu, dalam operasi di kawasan berasingan, dua kilang pengeluar kicap di Pengkalan Chepa dan Wakaf Stan diberikan notis hadir ke pejabat Kesihatan Kota Bharu untuk tawaran kompaun ekoran tidak mematuhi piawaian kebersihan sebagai pengendali makanan.

Antara kesalahan yang dilakukan dua kilang terbabit adalah menggajikan pekerja asing yang tidak mendapatkan pemeriksaan kesihatan, selain dikendalikan dalam premis yang tidak bersih.

Mat Ghahit Mohamed berkata, hasil tinjauan di premis pertama mendapati, kawasan memproses kicap dalam keadaan baik namun cara penyediaannya meragukan susulan pekerjanya tidak mendapatkan suntikan kesihatan.

“Premis pertama kita keluarkan notis untuk pekerjanya di bawah peraturan-peraturan kebersihan makanan 2009.

“Manakala kilang kedua tidak mematuhi peraturan apabila persekitarannya kotor dan turut terdapat botol-botol kitar semula yang bertimbun dan proses penyediaan hanya dijalankan di kawasan terbuka,” ujarnya.

Pihaknya turut memberi peringatan kepada dua kilang ini supaya mematuhi peraturan dan jika ingkar tindakan susulan akan dikenakan termasuk kompaun maksimum RM10,000.

“Sebagai pengendali makanan kami nasihatkan supaya kilang-kilang mengendali makanan dan minuman agar dapat mematuhi peraturan ditetapkan dan jika ingkar tindakan lanjut akan dikenakan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi di 24 kilang di daerah ini antara jam 10 pagi hingga 2.30 petang, sebanyak 55 notis dikeluarkan membabitkan tahap kebersihan kurang memuaskan dan pekerja tidak mengikut peraturan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");