Berita Hari Ini

Kutuk Kekejaman Terhadap Rohingya – TPM

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diseru mengutuk keganasan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di samping sentiasa bersyukur dengan negara ini yang aman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesejahteraan yang dikecapi negara ialah bukti masyarakat di negara ini saling menerima antara satu sama lain walaupun berbeza budaya, agama dan bangsa.

“Kita boleh bergurau senda, bergelak ketawa, hidup dalam keadaan sejahtera walaupun berbilang kaum sebab negara kita aman. Kita saling menerima antara satu sama lain selain sentiasa mengucapkan ‘selamat datang’ kepada sesiapa saja tetamu yang datang ke negara ini.

“Cuba kita kenang nasib etnik Rohingya yang disiksa, dipancung, dibakar dan dibunuh dengan kejam. Kita mahu rakyat di seluruh negara menolak, dan bangun bersama-sama mengutuk kekejaman itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Merdeka Rides 2017 di Dataran Presint 3, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyeru bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, yang mempengerusikan Suruhanjaya Penasihat mengenai Rakhine untuk menarik perhatian pertubuhan lain mengambil peduli terhadap nasib etnik Rohingya dan mahu Myanmar mendengar suara ASEAN dan suara dunia dengan menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya.

“Ambil kepedulian kepada etnik Rohingya kerana mereka bukan binatang, mereka adalah manusia yang harus dipeduli oleh tentera dan pemerintah Myanmar. Saya tahu, mereka dinafikan hak sebagai rakyat kerana berlainan agama.

“Pemimpin utamanya (Aung San Suu Kyi) adalah pemimpin yang diiktiraf badan dunia satu ketika dulu. Beliau perlu gunakan pengalaman sebagai pejuang demokrasi untuk diterjemahkan kepada pentadbirannya sendiri supaya anugerah yang diterima (Hadiah Nobel Keamanan) dapat diiktiraf dunia bukan hanya sekadar ‘patung’ (hiasan) saja,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap di hadapan lebih 6,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Superbikes Association of Malaysia (SAM) menyeru mereka turut bersama-sama menyokong Malaysia dalam usaha menolak kekejaman terhadap etnik Rohingya dan memberi bantuan kepada masyarakat itu.

Beliau turut secara spontan menanggalkan topi yang dipakai sebagai simbolik permulaan Kutipan Dana Bantuan Etnik Rohingya dan memaklumkan tabung itu diwujudkan bagi menunjukkan komitmen SAM mendukung usaha kerajaan membantu Rohingya, dan hanya kira-kira lapan minit selepas dilancarkan, kutipan mencecah lebih RM3,000.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM) yang bakal menaungi semua persatuan permotoran di negara ini selain melantik bekas Presiden SAM, Datuk Seri Rauf Yusof selaku pengerusi penaja GPPM.

“Aktiviti permotoran terbukti antara aktiviti dan hobi yang berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang. Justeru, saya mahu semua persatuan permotoran di negara ini bernaung di bawah satu badan kerana tiada beza antara kita sama ada motosikal berkuasa tinggi, ‘kapcai’, kecil atau besar, kita semua sama,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan nombor pendaftaran kenderaan SAM yang telah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ia terbuka kepada pemilik semua jenis kenderaan dengan nombor pendaftaran bermula dari SAM 1 sehingga SAM 9999.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");