Jenayah

Lalok Lepas Balik Dari Golok

RANTAU PANJANG – Seramai enam lelaki ditahan kerana positif dadah dalam sekatan jalan raya di Pos Tetap Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, Sabtu lepas.

Difahamkan ketika ditahan kesemua suspek baru pulang dari Golok, Thailand untuk bersuka-ria bersama rakan.

Ketua pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas, Siti Morni Mustafa berkata, empat lelaki didapati positif dadah jenis methamphitamine manakala dua lagi methamphitamine dan opiate.

Menurutnya, dua suspek yang positif dadah jenis opiate mengaku kerap meminum air ketum tetapi tidak mengetahui isi kandungan campuran air tersebut kerana sekadar terikut-ikut dengan kawan.

“Kesemua suspek dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman sementara menunggu keputusan ujian makmal patologi dan membantu menyiapkan siasatan.

“Suspek seterusnya ditahan reman di Pusat Tahanan Reman selama 10 hari bermula Ahad lalu,” katanya.

Siti Morni berkata, dalam sekatan jalan raya itu, pihaknya dengan kerjasama Aksem memeriksa 15 penduduk.

Katanya, sekatan yang dibuat selama lima jam itu turut melibatkan pemeriksaan pada tubuh badan dan kenderaan yang dinaiki.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dengan sebarang kes salah laku membabitkan dadah.

“Belia dan remaja perlu memilih kawan yang tidak mempunyai kes dadah, ketum atau terlibat dengan jenayah.

“Marilah memerangi dadah habis-habisan kerana ia hanya menyumbang kepada perkara negatif dan merugikan masa depan mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");