Sukan Hari Ini

Li Jane, Siti Safiyah Tersingkir Di Virginia

KUALA LUMPUR: Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman gagal mempamerkan aksi memberangsangkan ketika ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Virginia, sebentar tadi.

Li Jane, yang merangkul gelaran Masters Eropah Wanita, tewas 267-254, 237-201, 198-237, 279-217 kepada Shannon O’Keefe dari Amerika Syarikat (AS).

Seorang lagi pemain AS, Shannon Pluhowsky, yang merangkul empat gelaran Jelajah PWBA, menyingkirkan Siti Safiyah dengan keputusan 224-198, 228-224, 228-231, 194-208, 246-209.

Li Jane mengakui, walaupun sudah mempamerkan prestasi baik tetapi ia belum cukup untuk menewaskan Shannon.

“Shannon berada di tahap terbaik. Dia antara pemain paling sukar pernah saya temui,” kata Li Jane di Virginia, hari ini.

“Dalam sukan boling, ada masanya kita menang, ada masanya kita kalah. Saya mesti belajar daripada pengalaman dan kembali bangkit dalam kejohanan selepas ini.

“Bagi saya, Jelajah PWBA musim ini cukup menakjubkan. Saya menang di Terbuka Lincoln. Saya menamatkan saingan ini di kedudukan 10 terbaik musim ini dan ini adalah petanda yang baik.

“Kami beraksi menentang lawan yang sudah sudah beraksi dalam kempen ini sejak beberapa tahun lalu.

“Tetapi saya baru dua musim terpilih untuk kejohanan ini. Jadi, saya rasa ini satu pencapaian yang membanggakan untuk diri sendiri,” katanya.

Manakala, Siti Safiyah pula menegaskan dia tidak bernasib baik ketika bertarung di pusingan kelima.

“Saya tewas pada dua perlawanan awal tetapi berjaya bangkit menyamakan kedudukan selepas menang dua perlawanan berikutnya. Perlawanan di pusingan akhir cukup sukar.

“Shannon menggunakan sepenuhnya pengalaman yang dia ada untuk menang aksi penentuan,” kata Siti Safiyah.

Pemain boling negara ini akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menjalani persiapan Kejohanan Dunia tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");