Perak Hari Ini

‘Lihat Masalah Sebagai Satu Peluang Inovasi’

IPOH: Setiap rakyat Malaysia, harus mempunyai semangat berinovatif dan sentiasa memandang kehadapan dalam jiwa dan minda mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, semua warganegara juga mesti berusaha untuk bercita-cita menjadi golongan pencipta yang berjaya menempuhi pasaran global, berbanding hanya menjadi golongan pengguna.

“Setiap warga yang mempunyai fikiran inovatif, mereka akan senantiasa menawarkan jalan dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaian terhadap sebarang masalah yang timbul dan dalam masa sama, melihat ia sebagai satu peluang untuk mencipta alternatif lain.

“Namun, akhir-akhir ini, terdapat segelintir dikalangan kita yang lebih cenderung hanya untuk mengkritik dan mengutuk kerajaan jika timbul sebarang isu, dan ditambah pula memuatnaik sebarang info yang tidak betul ke laman sosial masing-masing demi mendapat ‘share’, dan ‘retweet’ yang banyak.

“Sepatutnya, dengan sikap keterbukaan kerajaan yang ada sekarang ini, mereka seharusnya menyalurkan pandangan dan cadangan mereka kepada saluran-saluran media yang betul (dengan cara berhemah),” katanya.

Selain itu, Khairy juga berkata pendekatan kerajaan yang mengalakan dasar  ‘dari bawah’ (bottom-up) ini harus diraikan rakyat di mana kerajaan kini sedia menerima dan mendengar suara rakyat dalam menggubal dasar.

 

“Kita harus menyokong segala agenda inovasi dan harus mempunyai perasaan yang kita juga adalah sebahagian daripada proses penting dalam menentukan hala tuju negara ke arah menjadi sebuah negara inovatif di dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi menuju negara inovasi di mana dalam masa dua tahun kebelakangan ini, ia telah diterjemahkan melalui pembentukan Belanjawan 2016 dan 2017 terhadap sektor inovasi yang akhirnya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

“Di peringkat dasar mikro, kerajaan telah mengumumkan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2013-2020) bagi penyediaan garis panduan strategik untuk pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih inovatif menjelang tahun 2020.

“Pada tahun ini, kita dapat lihat kerajaan memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi digital di mana ia menyumbangkan sebanyak 16.3% kepada KDNK negara dan jika diteruskan, ia mampu menyumbang sehingga 20% kepada KDNK negara pada tahun 2020.

“eRezeki dan eUsahawan pula dilancarkan bagi mensasarkan golongan belia, Peniaga Kecil dan Sederhana (SME), usahawan digital, serta golongan B40, yang kini telah memberi manfaat kepada lebih 100,00 rakyat Malaysia,” katanya.

Khairy juga berkata, Malaysia juga merupakan negara pertama di dunia memperkenalkan Zon Perdagangan Bebas Digital yang ia memudahkan e-dagangan antarabangsa dan memperkasakan inovasi berasaskan internet.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya  bersempena dengan Dialog Pangkor (PIDD) di Casuarina Meru, di sini, pada Selasa.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr  Mazalan Kamis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");