JURGEN KLOPP menegaskan keputusan Liverpool untuk tidak membeli penyerang pada musim 2017-18 masih lagi relevan.
Klopp memiliki pemain-pemain seperti Philippe Coutinho, Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah untuk mengisi jentera serangan, bagaimanapun pertahanan yang lemah mendatangkan masalah untuk The Reds, musim ini.
Ketika Manchester United (Romelu Lukaku), Chelsea (Alvaro Morata) dan Arsenal (Alexandre Lacazette) memperkukuhkan skuad dengan membawa masuk penyerang baru, Liverpool sekadar mendapatkan khidmat pemain berusia 20 tahun, Dominic Solanke.
Tetapi Klopp menegaskan pasukannya tidak memerlukan penyerang tambahan.
“Kami memiliki Daniel Sturridge. Dia seorang pemain yang berpotensi. Dia kini sudah kembali cergas, jadi kami berharap dia dapat memberikan yang terbaik,” kata Klopp, menurut laporan portal Stadium Astro.
“Solanke sudah pasti merupakan bakat terbesar England dalam posisi nombor sembilan. Ini sudah cukup baik untuk kami.
“Morata sudah mula menyesuaikan diri, Lukaku merupakan pemain yang sesuai dengan Manchester United, Harry Kane sudah mulai menjaringkan gol [untuk Tottenham], dan Lacazette juga bertindak cemerlang. Kami juga perlu melakukan sesuatu.
“Buat kami, Liverpool kurang bernasib baik. Kami tidak memiliki peluang untuk mendapatkan Lukaku. Ia akan menjadi satu perpindahan yang menarik.”
Kali terakhir Liverpool memiliki pemain yang menjaringkan 20 gol dalam saingan liga merupakan pada musim 2013-14, ketika Luis Suarez (31) dan Sturridge (21) hampir membawa mereka menjulang takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Manchester United merupakan kelab terakhir untuk memenangi liga, pada musim 2008-09, tanpa sebarang pemain menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol.