Isu Panas

‘Lupakan Sengketa Demi UMNO, BN’

CHUKAI: Penyatuan dan gandingan dua bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mampu memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, berkata tiga pemimpin berkenaan berada di pentas sama membuktikan kisah silam sudah dilupakan demi kepentingan UMNO dan BN.

“Ini adalah manifestasi mereka sanggup memaafkan dan melupakan sejarah silam demi perpaduan dalam parti.

“Selagi ketiga-tiga pemimpin ini bersatu, saya yakin Terengganu kekal dipayungi BN dan UMNO,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kemaman di Dewan Berlian di sini, hari ini.

Selain Idris dan Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Timbalan Ketua UMNO bahagian Kemaman, lapor BH Online.

Tindakan Ahmad Said memeluk Ahmad Razif selepas selesai berucap, turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri yang menyifatkannya perkembangan baik.

“Ini adalah petanda apa yang sudah, sudahlah. Buka buku baharu, tutup buku lama demi kepentingan UMNO, BN, Melayu dan Islam di Terengganu ini,” katanya.

Ahmad sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Idris pada 2013, sebelum Ahmad Razif mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri tahun berikutnya.

Bagaimanapun, pertukaran tampuk kepimpinan itu melalui pelbagai spekulasi dan kontroversi yang mengundang persengketaan.

Ahmad Zahid berkata, adalah penting bagi ahli memberi keutamaan kepada kesepaduan dalam parti jika tidak mahu UMNO dan BN hilang kuasa pada PRU akan datang.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, turut mengingatkan seluruh ahli parti tidak ‘menempah maut’ dengan melayan ‘tukang kipas’ yang akan menggagalkan usaha parti memenangi PRU-14.

“UMNO dan BN tidak mahu kehilangan kuasa kerana banyak sejarah yang kita pelajari seperti di Kelantan dan Pulau Pinang.

“Jangan gunakan masalah parti luar BN untuk kita rampas kuasa kerana kemenangan kita bukan hanya disebabkan kelemahan musuh politik, tetapi atas perpaduan kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut meluluskan peruntukan RM80 juta untuk pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman yang baharu, serta RM2 juta untuk gelanggang futsal di Bandar Baru Kijal di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");