Berita Hari Ini

Malaysia Asingkan Diri Daripada Kenyataan Pengerusi ASEAN Mengenai Rakhine

KUALA LUMPUR: Malaysia mengasingkan diri daripada Kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai Situasi Kemanusiaan di Wilayah Rakhine yang dikeluarkan di New York, semalam kerana berpendapat ia memberi gambaran yang salah mengenai realiti keadaan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kenyataan itu tidak berdasarkan konsensus memandangkan Malaysia telah menyatakan kebimbangannya berhubung isu itu tetapi dokumen tersebut tidak mencerminkan keadaan itu.

“Kenyataan itu juga tidak menyatakan etnik Rohingya sebagai satu daripada komuniti yang terjejas.

“Walaupun Malaysia mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos yang dilancarkan oleh kumpulan yang menggelar Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), operasi pembersihan berikutnya oleh pihak berkuasa Myanmar adalah tidak wajar kerana ia telah mengakibatkan kematian ramai orang awam yang tidak bersalah dan lebih 400,000 etnik lari meninggalkan negara itu.

“Malaysia melahirkan kebimbangan yang amat berat mengenai kekejaman yang telah mencetuskan krisis kemanusiaan berskala besar yang dunia tidak dapat mengabaikannya tetapi harus mengambil tindakan untuk menanganinya,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad lapor Bernama.

Anifah mengulas kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai Situasi Kemanusiaan di Wilayah Rakhine yang antara lain menyatakan bahawa Menteri-menteri Luar ASEAN mengutuk serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos 2017 dan semua tindakan keganasan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam, kemusnahan rumah dan pemindahan sebilangan besar penduduk.

Kenyataan Pengerusi juga menyatakan bahawa Menteri-menteri Luar ASEAN bersedia untuk menyokong Kerajaan Myanmar dalam usaha mewujudkan keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang dan memupuk keharmonian dan perdamaian antara pelbagai komuniti serta pembangunan yang berkekalan lagi adil di Wilayah Rakhine.

Anifah berkata, Malaysia menggesa dengan sekeras-kerasnya Kerajaan Myanmar untuk menamatkan keganasan, menghentikan kemusnahan kehidupan dan harta benda, membenarkan akses tanpa halangan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Muslim Rohingya dan semua komuniti yang terjejas, dan menangani masalah pelarian Rohingya.

Beliau berkata penyelesaian jangka panjang yang berkekalan terhadap punca konflik tersebut harus dicari untuk membolehkan masyarakat Rohingya dan komuniti lain yang terhejas dapat membina semula kehidupan mereka.

“Kita juga menggesa Myanmar memenuhi komitmennya untuk segera melaksanakan cadangan-cadangan muktamad Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine.

“Malaysia sebagai memenuhi peranannya telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 Sept 2017 dan akan meneruskan penghantaran lebih banyak bantuan,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");