Berita Hari Ini

Malaysia Disaran Fikir Pilihan Raya Guna E-voting

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memikirkan cara bagaimana pengundian secara dalam talian (e-voting) boleh dilaksanakan untuk pilihan raya di negara ini selaras perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pengerusi Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS), Tan Sri Rastam Isa, jika menjadi kenyataan, aspek keselamatan e-voting perlu diberi keutamaan supaya tahap integriti pilihan raya tidak dipertikaikan.

Katanya, perkara utama untuk melaksanakan sistem itu adalah sejauh mana teknologi tidak disalahgunakan untuk menggodam undian dan keputusan pilihan raya.

“Saya melihat e-voting membolehkan lebih ramai mengundi, boleh dilakukan di mana sahaja, sama ada di rumah atau sambil minum di kedai kopi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan hari terakhir Persidangan Serantau Mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Yayasan Kofi Annan, di sini hari ini.

Menurut BH Online, persidangan dua hari itu yang dirasmikan bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam, dihadiri wakil kerajaan, parti politik, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik dan media.

Rastam berkata, e-voting sudah pun dilaksanakan di India, sekali gus tidak mustahil diikuti Malaysia seperti juga pelaksanaan sistem perbankan dalam talian ketika ini.

“Justeru, badan atau suruhanjaya pilihan raya yang adil, berintegriti perlu bersedia untuk mengendali dan menerima sistem pengundian baharu ini,” katanya.

Beliau berkata, cabaran pelaksanaan e-voting pula adalah isu keselamatan sistem, orang yang mengundi serta badan yang mengendalikan proses pilihan raya itu.

Yang turut mengambil bahagian dalam perbincangan bertajuk ‘Pilihan Raya Selamat: Mewujudkan Persekitaran Selamat’ itu ialah Pesuruhajaya SUHAKAM, Jerald Joseph dan Pakar Utama Carter Centre, Elijiah Lewein.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");