Sukan Hari Ini

Malaysia Kekal Kedudukan Ke-166 Ranking FIFA

KUALA LUMPUR  – Keputusan seri 1-1 yang dilakar skuad Harimau Malaya ketika berdepan Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September lepas tidak mengubah kedudukan mereka dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan ranking terbaharu FIFA bagi bulan September, Malaysia di bawah kendalian Nelo Vingada kekal berada pada kedudukan ke-166 dunia iaitu kedudukan sama yang diraih pada bulan lepas.

Malaysia sebelum ini berada pada kedudukan 161 pada Januari, 162 (Februari), 161 (Mac), 157 (April), 158 (Mei), 155 (Jun) dan kedudukan ke-167 dunia pada bulan Julai.

Kedudukan itu meletakkan skuad kebangsaan setanding dengan beberapa negara membangun lain seperti Republik Dominica (160), Mauritius (161), Puerto Rico (163) dan Gambia yang berada pada kedudukan ke-164 dunia.

Di kalangan negara ASEAN, Laos dengan Filipina berada di tangga ke-123 dunia, Vietnam (130), Thailand (137), Myanmar (152) , Singapura (162) namun Malaysia kekal berada pada tangga ke-32 daripada 45 negara Asia.

Juara Piala Dunia 2014, Jerman merampas kedudukan teratas dari Brazil susulan persembahan cemerlang setelah menewaskan Republik Czech dan Norway pada aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Eropah, baru-baru ini.

Mereka mengumpul 1,606 mata manakala Brazil turun ke tangga kedua dengan kutipan 1,590 mata. Juara Eropah 2016, Portugal pula melonjak tiga anak tangga untuk berada di tangga ketiga menerusi kutipan 1,386 mata.

Ia juga hasil daripada keputusan cemerlang dilakar pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Eropah. Kedudukan ranking bulanan FIFA melibatkan 211 negara. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");