shadow

KIM Jong-un telah didedahkan sebagai peminat setia Manchester United dan dia percaya suatu masa nanti pemain Korea Utara akan menyinar di Liga Perdana Inggeris.

Seorang teman rapat kepada pemimpin negara senjata nuklear itu mendedahkan kepada SunSport bagaimana Jong-un menggemari corak permainan United, malah dia juga tidak pernah terlepas untuk menyaksikan kejohanan bola sepak utama melibatkan kelab kegemarannya itu.

Senator Itali, Antonio Razzi mengesahkan pemimpin diktator itu semasa berborak dengannya telah memberitahu tentang kecintaannya terhadap Red Devils.

Tetapi apabila ditanya sama ada Jong-un membandingkan dirinya dengan mana-mana wira United seperti Eric Cantona atau Zlatan Ibrahimovic, Razzi memberitahu The Sun: “Tidak, Kim adalah Kim, tak ada yang sama dengannya.”

Pemain Korea Utara, Han Kwang-song telah menarik perhatian awam berikutan permulaan menarik musim ini apabila dia bermain untuk Perugia dalam Serie B Itali.

Razzi memberitahu bagaimana Jong-un percaya Kwang-song akan menjadi pemain pertama daripada ramai lagi pemain yang akan keluar dari negara ‘rahsia’ itu dan bersinar di peringkat dunia, memandangkan ia adalah ‘sebuah negara dalam evolusi berterusan’.

Dia juga menjangkakan Liga Perdana tidak lama lagi akan dibanjiri dengan bakat dari Korea Utara.

Razzi adalah tokoh eksentrik dalam politik Itali, yang terkenal di negaranya terutama kerana persahabatannya dengan Jong-un.

Komen & Pendapat