Isu Panas

MyPPP Belum Bincang Kerusi Cameron Highlands Dan Buntong

KUALA LUMPUR: Belum ada perbincangan secara rasmi mengenai kerusi Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong antara MyPPP dengan mana-mana parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas, berkata pada masa ini parti itu menamakan dua kerusi itu kerana mereka mempunyai calon yang boleh menang dan mendapat sokongan penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, parti itu bukannya mahu berebut kerusi dengan mana-mana parti komponen BN yang lain sebaliknya hanya mahu memastikan kemenangan berpihak kepada parti.

“Kami mempunyai wakil yang sudah bekerja lebih tiga tahun di kedua-dua kawasan berkenaan. Seperti di Buntong, pengundi di kawasan itu sendiri yang mahukan MyPPP selepas mereka berasa terumbang-ambing selepas kepemimpinan BN tidak berbuat apa-apa di sana.

“Begitu juga di Cameron Highlands apabila Tan Sri G Palanivel menjadi calon bebas, pengundi di sana minta kami menerajui BN di sana. Sudah dua tahun kami bekerja di sana,” katanya ditanya mengenai keputusan partinya untuk bertanding di Cameron Highlands dan Buntong di Perak.

Difahamkan, MIC turut mengintai kerusi Cameron Highlands untuk PRU-14.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), MIC bertanding kerusi Cameron Highlands diwakili Presiden parti itu, Tan Sri G Palanivel yang kemudian mengumumkan keluar BN dan menjadi calon bebas.

PRU-13 menyaksikan MyPPP bertanding di lima kerusi iaitu empat DUN dan satu Parlimen.

Lima kerusi itu, iaitu Parlimen Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan empat kerusi negeri, masing-masing satu di Kota Laksamana (Melaka), Kota Alam Shah (Selangor), Pasir Bedamar (Perak) dan Manik Urai (Kelantan).

Ditanya mengenai sasaran parti itu bertanding pada PRU-14, katanya parti itu tidak membuat apa-apa ketetapan kerana menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi BN.

“Dulu kita bertanding di kerusi yang mana-mana parti komponen tak minat hendak bertanding. Kali ini kami lebih fokus yang mana mahu bertanding di kawasan yang kami boleh menang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");