shadow

KUANTAN: Pahang muncul juara bola sepak Piala Agong selepas menundukkan Negeri Sembilan 4-3 dalam perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Sebaik wisel perlawanan dibunyikan pengadil Zulkarnain Zakaria, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pembukaan Negeri Sembilan seawal minit ketujuh hasil rembatan Mohd Radzi Pilus.

Namun, Pahang tidak membiarkan penyandang Piala Agong itu mendahului lama apabila menyamakan kedudukan 1-1 melalui tandukan Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri, hasil hantaran Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir tiga minit kemudian.

Jaringan penyamaan itu membangkitkan kembali semangat penyandang Piala Emas Raja-Raja itu dan menghukum kealpaan benteng pertahanan lawan dengan mencipta gol kedua pada minit ke-27, hasil rembatan Nik Muhammad Sharif Haseefy untuk mendahului 2-1.

Berselang tiga minit, Pahang terus cemerlang menjarakkan kedudukan 3-1 hasil sepakan penalti Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir selepas Nik Muhammad Sharif dikasari pertahanan lawan.

Bagaimanapun, sejurus separuh masa kedua disambung, corak perlawanan mula berubah apabila Negeri Sembilan bangkit dan mengasak kubu pertahanan pasukan Pahang sehingga mengikat kedudukan 3-3 hasil dua sepakan penalti Muhammad Al Rifaei Amn Abdul Rahman pada minit ke-46 dan ke-74.

Enggan mengalah, skuad kendalian Nordin Muhamad kembali agresif pada minit-minit akhir dan merobek gawang pelawat dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-83 menerusi tandukan Muhammad Sharul Nizam, sekali gus menamatkan saingan dengan keputusan 4-3.

Lapor BH Online melalui Bernama, sebelum perlawanan bermula, pemain kedua-dua pasukan dan penonton turut bertafakur seminit dengan mereka yang beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat, Isnin lalu.

Komen & Pendapat