Sukan Hari Ini

Pahang Perlu Baiki Kelemahan Untuk Terus Mara

PAHANG perlu memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan jika mahu meneruskan kemaraan pada peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Penolong Ketua Jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosli berkata meskipun skuad kendaliannya mencatat kemenangan 3-2 ke atas T-Team malam tadi, masih banyak ruang yang boleh diperkemas bagi memantapkan persembahan.

“Kita bermula dengan berhati-hati pada awal perlawanan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol pada separuh masa pertama.

“Pada separuh masa kedua, kita hilang konsentrasi dan ini memberi peluang kepada T-Team mencuba sehingga mereka berjaya memperoleh gol.

“Walaupun perlawanan seperti akan berakhir dengan keputusan 2-2, pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka terus berusaha untuk meraih gol kemenangan sebelum wisel penamat ditiupkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Ahmad Shaharuddin berkata tiga mata yang diperoleh skuad Tok Gajah pada aksi itu amat bermakna bagi mengesahkan tempat ke suku akhir untuk bertemu Perak.

“Sebelum bertemu Perak, kita akan tengok semula kekurangan yang dimiliki oleh pasukan dan kita perlu gunakan sebaik-baiknya tempoh beberapa hari ini untuk memperkemaskan permainan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan berkata anak buahnya telah mempamerkan persembahan yang baik kerana berjaya merapatkan jurang gol ketika berhadapan Pahang walaupun tewas.

“Saya berbangga kerana aksi malam tadi agak berbeza yang mana pemain kami tidak membiarkan Pahang menang dengan jaringan besar seperti mana aksi-aksi sebelumnya ketika menentang pasukan itu,” katanya.

Pemain Pahang, Muhammad Nor Azam Abdul Azih pula berkata kelemahan di bahagian pertahanan pasukannya sedikit sebanyak mengakibatkan gawang mereka dibolosi dua kali.

“Prestasi rakan sepasukan agak baik tapi banyak yang perlu dibaiki, namun kemenangan ini menjadi pembakar semangat kami untuk beraksi di suku akhir,” katanya.

Ditanya mengenai tawaran beraksi di kelab Thailand, Muhammad Nor Azam sedia  mempertimbangkannya bagi menambah pengalaman sebagai pemain professional.

“Kalau betul, itu satu rezeki selain ia mampu meningkatkan pengalaman saya apabila bermain di luar. Namun, segalanya perlu mengikut prosedur persatuan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");