Sukan Hari Ini

Para KL2017: Dek Wan Tak Boleh Bertanding Angkara Denggi

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, sah tidak akan menyertai sebarang acara di Sukan Para ASEAN 2017 kerana disyaki mengalami demam denggi, sejak Khamis lalu.

Pengurus Pasukan Olahraga Para ASEAN Malaysia, Narrawi Abdullah, berkata pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada doktor di Hospital Putrajaya dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Kami terpaksa mengambil keputusan bahawa Ridzuan tidak boleh menyertai semua acara kerana beliau didapati masih belum pulih dan cergas sepenuhnya untuk bertanding di Sukan Para ASEAN kali ini.

“Oleh itu, kita perlu merehatkan Ridzuan bagi membolehkan beliau berehat dan pulih secepat mungkin.

“Apabila Ridzuan tidak diturunkan dalam acara 100m lelaki T36 hari ini, maka secara automatik dia tidak akan bertanding dalam acara 400m (esok) dan 200m pada Jumaat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Narrawi yang juga Pengetua Sekolah Menengah Putrajaya Presint 9(2) berkata tindakan itu perlu bagi memastikan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016 itu benar-benar pulih.

Katanya, pasukan perubatan ISN kini sedang memantau rapi keadaan Ridzuan bagi mengelak sebarang risiko dan insiden tidak diingini.

“Biarpun, keadaan Ridzuan kini semakin stabil, namun kita kena sentiasa pantau kerana denggi bukan seperti demam biasa dan sukar diramal, serta mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

“Justeru, saya boleh sahkan Ridzuan tidak akan menyertai Sukan Para ASEAN kali ini, walaupun sedar ia akan memberi kesan kepada pungutan pingat kerana sasaran kita tetapkan untuk beliau ialah tiga emas.

“Bagaimanapun, kita terpaksa Ridzuan tarik diri demi kesihatannya biarpun beliau nekad mahu turun beraksi dalam semua acara berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Narrawi mengesahkan bahawa Ridzuan mengalami demam pada Khamis lalu, seterusnya dibawa ke ISN sebelum disahkan menghidap demam denggi dan ditahan di wad Hospital Putrajaya sehingga Isnin lalu.

“Sebenarnya Ridzuan sudah dibenarkan keluar hospital hari Isnin dan menjalani latihan seperti biasa hingga pagi tadi.

“Namun, kita terpaksa mengarah Ridzuan menarik diri dari semua acara kerana merasakan beliau belum pulih dan bimbang nyawanya akan terancam jika dia terus bertanding,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");