Sukan Hari Ini

Latihan Intensif Dua Tahun Bawa Hasil Positif – Muhamad Ashraf

KUALA LUMPUR: Pengorbanan menjalani latihan intensif sejak dua tahun lepas sehingga menyebabkan tulang fibula retak tidak menjejaskan semangat Muhamad Ashraf Muhammad Haisham yang berjaya meraih pingat emas peribadi kedua acara olahraga pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (APG 2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Atlet olahraga para kebangsaan itu yang mempertahankan pingat emas kategori 800m lelaki T46 (kecacatan anggota), mengekalkan kecemerlangannya apabila mencatat rekod baharu 1,500m T46 hari ini dengan catatan masa 4 minit 24.30 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu, 4:27.90 saat yang dicipta atlet Filipina, Isidro Bildolosa pada edisi 2005 di Filipina.

Pingat perak dan gangsa acara 1500m T46, masing-masing dimenangi juara bertahan, Tran Van Duc dari Vietnam manakala wakil Indonesia, Erens Sabandar dari Indonesia dengan catatan 4:25.25 saat dan 4:33.83s.

“Selepas edisi 2015 di Singapura, saya banyak belajar daripada kesilapan yang saya lakukan dan saya bagi tahu jurulatih bahawa saya mahu fokus acara 1,500m sehingga tulang fibula saya retak sebanyak dua kali ketika menjalani latihan, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk memburu kemenangan di tempat sendiri.

“Saya sudah pecahkan rekod 800m di Singapura dan saya tekad untuk pecahkan rekod acara 1,500m di laman sendiri dan alhamdulillah, saya berjaya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas acara berkenaan.

Muhamad Ashraf yang kudung tangan kiri akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas, menjelaskan kejadian tersebut telah banyak mengubah kehidupannya.

“Pada mulanya saya tidak boleh terima tapi kawan-kawan dan juga anggota keluarga banyak bagi semangat dan dorongan kepada saya, jadi saya terus berusaha dan tidak berputus asa untuk mencapai kejayaan walaupun bergelar orang kelainan upaya (OKU),” jelas anak jati Perak itu.

Beliau menjelaskan kejayaan hari ini menyemarakkan semangatnya untuk memburu pingat emas ketiga dalam acara 400m T36 pada hari keempat, esok.

Untuk rekod, Muhamad Ashraf meraih satu pingat emas dan perak, masing-masing dalam acara 800m dan 1,500m T36 pada Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");