Jenayah

Parit Buntar ‘Tenggelam’ Akibat Banjir Kilat

PARIT BUNTAR: Hujan lebat berterusan lebih tiga jam mengakibatkan banjir kilat di beberapa jalan utama dan sebahagian kawasan perumahan penduduk di sini malam ini.

Hujan lebat bermula jam 4 petang mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air setinggi 0.8 meter kira-kira jam 7 malam dan setakat jam 11.30 malam tadi, air masih belum surut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Ahmad Rosayyed Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.12 malam lantas beliau bersama sembilan anggota melakukan pemantauan di beberapa lokasi terjejas.

“Tiga taman perumahan iaitu Taman Abdul Raof, Taman Kerian dan Taman Seri Tenggara ditenggelami air setinggi 0.4 meter manakala kawasan yang paling teruk terjejas adalah pusat bandar apabila jalan utama dinaiki air hampir satu meter.

“Sehingga jam 11.30 malam, keadaan air masih bergenang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan dan pihak kami masih lagi membuat pemantauan.

“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini serta keadaan masih terkawal dan kami bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam pada itu, difahamkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian telah memasang beberapa buah pam bagi membuang air yang bertakung bagi mengurangkan keadaan banjir yang melanda.

Dalam perkembangan sama, seorang peniaga, Borhan Mahyuddin, 34, berkata banjir itu mengakibatkan 20 peniaga di Gerai Penjaja Statik, Jalan Maharaja di pusat bandar terpaksa ditutup awal berikutan kenaikan paras air yang mendadak.

Katanya, kebiasaan operasi gerai terbabit tutup sekitar jam 11 malam namun hari ini semua peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka seawal jam 7.30 malam dan terpaksa menyelamatkan barang-barang perniagaan mereka daripada terkena air.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");