Jenayah

Pelajar Jual Ganja Untuk Hidup Mewah

SEPANG: Sanggup menjual ganja semata-mata untuk hidup mewah biarpun masih bergelar pelajar kolej.

Namun, kegiatan mereka sebagai tokan itu tidak kekal lama apabila polis menghidu pergerakan mereka sebelum dicekup dalam serbuan berasingan di Cyberjaya, dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Baharudin Mat Taib berkata, dalam tangkapan pertama pada jam 5.10 petang oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sepang, seorang pelajar berusia 21 telah ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap pelajar itu menemui dua paket plastik lutsinar seberat kira-kira tujuh gram berisi ketulan mampat disyaki ganja di dalam poket seluarnya.

“Susulan itu, kita telah menyerbu sebuah bilik asrama terbabit dan menahan seorang lagi suspek berusia 18 tahun yang juga merupakan pelajar kolej.

“Suspek kemudian telah menunjukkan bekas tin yang mengandungi 45 paket plastik lut sinar disyaki ganja seberat 210 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan kesemua nilai rampasan ganja ini bernilai RM2,250.

Menurut Sinar Online, Baharudin mendedahkan, kedua-dua pelajar kolej ini dipercayai telah aktif menjadi tokan secara kecil-kecilan sejak lapan bulan lalu.

Bekalan yang dikatakan diperolehi dari Kuala Lumpur itu akan dijual kepada kenalan atau pelanggan rapatnya sahaja.

Tambahnya, suspek akan membungkus sendiri dalam bentuk paket-paket kecil sebelum mengedarnya bukan sahaja kepada pelajar-pelajar kolej, tapi dipercayai juga kepada ‘pelanggan’ di sekitar Cyberjaya.

“Siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan ada lagi rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

Kedua-dua suspek yang positif dadah ini kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, polis turut berharap pihak kolej atau universiti memandang serius isu dadah membabitkan pelajar mereka kerana polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");