Berita Hari Ini

Pemuda UMNO Desak Sidang Khas Tergempar PBB

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengadakan satu sidang khas tergempar bagi mencari penyelesaian muktamad berkenaan krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata dunia tidak sepatutnya berdiam diri dan membiarkan pembunuhan etnik ini terus berlaku saban tahun dengan bantahan demi bantahan dilakukan tanpa sebarang penyelesaian muktamad.

“Kita menyokong gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres supaya mencari jalan dan pendekatan terbaik secara keseluruhan bagi menyelesaikan konflik berdarah ini secara keseluruhan.

“Dunia perlu mengambil langkah pantas bagi menyelesaikan kekejaman ke atas etnik Rohingya ini seperti kita bertindak apabila krisis kemanusiaan dan kekejaman berdarah melanda mana-mana kumpulan insan sekalipun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Khairy sebelum itu mempengerusikan mesyuarat berkaitan demonstrasi bantahan Pemuda UMNO mengenai krisis kemanusiaan Rohingya yang akan diadakan esok.

Sidang media tersebut turut dihadiri rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional, Majlis Belia Malaysia, pertubuhan-pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan (NGO).

Khairy berkata , sidang tergempar PBB itu adalah permulaan bagi mencari jalan penyelesaian bersama agar krisis kemanusiaan dan pembunuhan etnik ini tidak lagi berulang di masa hadapan.

Mengulas mengenai bantahan esok, Khairy berkata satu memorandum akan dihantar Pemuda UMNO disertai NGO ke Wisma PBB, di Jalan Dungun, Bukit Damansara sebelum bergerak ke Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir atas semangat solidariti dengan etnik Rohingya.

“Kita juga melancarkan kempen ‘Air Mata Untuk Rohingya’ sebagai solidariti untuk saudara seagama kita di sana,” tambahnya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");