Perak Hari Ini

Perak Bakal Adakan Dialog TN50 Untuk Pembangunan Sumber Makanan Masa Hadapan

IPOH: Satu Sesi Dialog Townhall Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mengkhususkan kepada sektor perladangan dan pembekelan sumber asas makanan, bakal diadakan di seluruh negeri Perak tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia akan melibatkan pelbagai agensi dan terbuka kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang dan usia.

 

“Apabila kita bercakap tentang TN50, jarang sekali ada input-input yang menjurus kepada perihal pembekalan sumber asas makanan, padahal ia merupakan perkara yang penting pada masa hadapan.

“Hari ini Malaysia mempunyai lebih kurang 30 juta rakyat dan kita tidak tahu berapakah pula pertambahan jumlah pada tahun 2050.

“Apabila sebuah negara pertanian berubah kepada sebuah negara perindustrian, kita terpaksa mengimport barangan asas makanan dari luar.

“Jadi misi dan visi pada kita tahun itu nanti adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import malah, kita juga nak jadikan negeri Perak ini sebagai negeri pembekal sumber makanan utama negara,” katanya.

 

Tambah beliau, apabila rakyat dapat memperkasakan sektor perladangan dan penghasilan sumber makanan asas, ia bakal mengurangkan bebanan kos sara hidup mereka.

Selain itu, Saarani juga berkata, perbincangan untuk mengadakan sesi dialog TN50 ini sudah berada di fasa terakhir dan beliau meminta untuk  Pertubuhan Peladang Negeri  (PPN) Perak dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menjadi tuan rumah bagi acara tersebut.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPN Perak Kali ke-41 di Wisma Peladang di Greentown Ipoh, pada Selasa.

Turut hadir Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Nadzri Ismail.

Pada perkembangan sama, Saarani berkata PPN Perak bersedia untuk bekerjasama dengan PPN Selangor untuk memproses padi dan beras.

“Kita tahu, semua ahli PPN Selangor ini merupakan pendokong Barisan Nasional.

“Apabila mereka memohon mendapatkan tanah untuk membina kilang memproses padi, sudah tentu Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin pembangkang, tidak meluluskannya.

“Ini dinamakan politik sempit kerana ini bukan melibatkan keperluan parti, sebaliknya keperluan rakyat,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");