IPOH: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Negeri Perak berjaya memenangi Anugerah Paling Popular, bersempena dengan program Perarakan Budaya Ipoh (Ipoh Cultural Parade) 2017 yang diadakan Julai lalu.
Dengan kutipan ‘like’ terbanyak iaitu, 783, menerusi laman Facebook Tourism Perak, persatuan seni mempertahankan diri itu berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee pada Majlis Penyerarah Hadiah Ipoh Cultural Parade 2017, di Hotel Symphony Suites, dekat sini, pada Isnin.
Selain itu, turut disampaikan, anugerah bagi kategori fotografi di mana ia dimenangi peserta dari Selangor, Lin Kuw Ming.
Juru gambar separuh masa itu turut menerima wang tunai sebanyak RM3,000, sijil penyertaan, serta hadiah penginapan satu malam di Resort Hotel The Haven.
Bagi tempat kedua dan ketiga, ia dimenangi peserta dari Perak, iaitu Chai Yon Pin dan Leong Chee Kong.
Mereka masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000 selain turut berpeluang untuk tinggal semalam di The Heaven.
Bagi 38 pemenang yang lain, mereka memenangi hadiah sagu hati selain hasil gambar mereka juga turut dipertontonkan kepada yang hadir.
Bersempena dengan sambutan PCCCI yang memasuki tahun ke 110, seramai 110 orang telah terpilih bagi kategori cabutan bertuah dan mereka turut membawa pulang hadiah saguhati daripada penganjur.