Sukan Hari Ini

Piala Asia: Harimau Malaya Akan Jejak Kaki Di Bumi Korea Utara

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur dengan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk meneruskan aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang, 5 Oktober ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihak AFC memutuskan tiada ancaman keselamatan selepas perlawanan antara Korea Utara dan Lubnan pada 5 Sept lalu di venue berkenaan, sekali gus selamat untuk aksi Kumpulan B, pusingan kelayakan ketiga itu antara Malaysia dan pasukan tuan rumah.

“Kami akan ke sana ikut arahan AFC. Saya sudah berbincang dengan Setiausaha Agung AFC Windsor Paul John dan setakat ini venue itu masih selamat.

“Kami di FAM pun sudah membuat persiapan untuk bermain di sana dan akan terus ke Hong Kong selepas itu. Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) pun dah berkenan dengan keputusan itu,” katanya hari ini, lapor Bernama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan AFC akan terus memantau perkembangan di negara itu dan sekiranya ada faktor yang membahayakan keselamatan, tarikh perlawanan atau venue masih boleh diubah.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu pada awalnya dijadualkan pada 28 Mac lalu di Pyongyang ditunda ke 8 Jun selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Berikutan ketegangan itu berlanjutan, aksi itu sekali lagi ditunda ke 5 Oktober ini, hanya lima hari sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober.

Malaysia yang membuka kempen kelayakan terakhir itu dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Johor Bahru sebelum terikat 1-1 dengan Hong Kong pada 5 September lalu di Melaka, kini menduduki tangga tercorot dalam kalangan empat pasukan Kumpulan B dengan satu mata.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");